PONTIAN – Sebuah premis makanan di Kampung Rimba Terjun di sini, masih menawarkan Menu Rahmah tetapi bergantung kepada permintaan pelanggan.
Kedai Pak Karim di sini, masih menyediakan makanan tengah hari pada harga RM5.
Pengusahanya, Sipon Sawab, 60, berkata, harga asas Menu Rahmah RM5 bagi makan tengah hari termasuk nasi, ayam dan sayur serta air minuman dengan harga RM1 segelas.
Katanya, jika pelanggan mengambil juadah nasi, sayur, ayam dan ikan pula ada sedikit tambahan kerana dia menjual sepotong atau seekor ikan bergantung kepada jenis ikan yang dijual.
Kata Sipon, rata-rata pelanggan yang datang ke kedainya untuk makan tengah hari telah memahami situasi seperti itu dan akan membayar harga tambahan yang dikenakan kepada mereka.
“Walaupun orang kata harga Menu Rahmah semakin sepi kerana ramai peniaga menarik diri disebabkan kos bahan mentah yang tinggi, namun saya masih kekalkan konsep tersebut.
“Alhamdulillah Kedai Pak Karim atau dikenali sebagai Kedai Perpaduan ini satu-satunya kedai Menu Rahmah di Pontian yang telah beroperasi lebih daripada 11 tahun,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Sipon, kedainya telah memulakan lebih awal pada tahun 2013, apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memperkenalkan Menu Rahmah.
Katanya, ada 15 menu pelbagai jenis lauk-pauk seperti ayam, ikan, sayur-sayuran, boleh pilih bersama nasi dengan harga RM5 sepinggan atau sebungkus termasuk pembeli dalam kalangan kakitangan awam.














