fbpx

MPH Bookstores buka cawangan terbesar di The Exchange TRX

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cross (tengah) ketika merasmikan pembukaan kedai buku MPH Boostores di The Exchange TRX, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Rangkaian kedai buku gergasi, MPH Bookstores membuka satu lagi cawangan baharu terbesar di negara ini bertempat di pusat beli-belah The Exchange TRX di sini.

Cawangan tersebut yang berkeluasan 20,000 kaki persegi sekali gus sesuai sebagai lokasi acara pelancaran buku, perjumpaan bersama penulis dan bengkel serta mula beroperasi secara rasmi hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPH Bookstores, Martin Cross berkata, The Exchange TRX dipilih kali ini sebagai pembukaan cawangan baharu kerana lokasinya yang strategik di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

“Selain ibu bapa boleh membawa anak-anak untuk mengunjungi MPH Bookstores di sini, lokasi The Exchange TRX juga merupakan ‘pusat kewangan’ yang mana banyak pejabat di sekitar sini.

“Sempena pembukaan cawangan di sini, kita turut menawarkan pelbagai promosi istimewa dan hadiah misteri kepada pelanggan di sini dalam tempoh sebulan.

“Kita juga ada menjual stok terhad dan penghabisan stok di sini,” katanya kepada media pada majlis pembukaan MPH Bookstores di The Exchange TRX di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Cross berkata, MPH Bookstores juga bakal membuka cawangan baharu lain pada tahun ini, namun beliau tidak mendedahkan lokasi yang menjadi pilihan mereka.

“Kita berharap orang ramai terus menyokong MPH Bookstores yang mana pelbagai jenis bahan bacaan terdapat di sini termasuk buku bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan sebagainya,” katanya.

MPH Bookstores di The Exchange TRX beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam bertempat di tingkat dua (L2, 28 – 29.A) pusat beli-belah tersebut.

Sempena pembukaannya, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti dan memenangi hadiah mingguan bermula hari ini hingga 12 Jun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI