fbpx

[VIDEO] Bacin, Panjang, Dongga samun guna ‘pistol’ ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek mengacukan senjata menyerupai pistol dalam kejadian samun di Melaka.

MELAKA – Seorang pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR), bekas polis dan anak pesara polis yang juga dikenali sebagai ahli Geng Bacin diberkas polis selepas disyaki aktif melakukan kegiatan samun di sekitar negeri ini.

Ketiga-tiga suspek termasuk ketua kumpulan digelar Bacin berusia 36 tahun, dua lagi Panjang, 38, dan Dongga, 33, diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dalam serbuan berasingan di Tehel serta Jasin, Selasa lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima secara berturut-turut pada 6 dan 7 Mei berkaitan kejadian samun membabitkan tiga buah kedai di Krubong, Telok Mas serta Tambak Paya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kumpulan tersebut menggunakan modus operandi sama iaitu mengacukan senjata menyerupai pistol kepada penjaga premis sebelum menyamun wang tunai di kaunter pembayaran.

“Suspek telah melakukan samun di tiga buah premis terlibat iaitu kedai menjual gajet, kedai beg serta kedai runcit melibatkan kerugian kira-kira RM1,150.

“Modus operandinya adalah sama iaitu mengacukan senjata api menyerupai pistol dan mengugut mangsa untuk menyerahkan wang jika tidak mahu ditembak,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tambahnya, dalam tangkapan tersebut pihak polis turut merampas satu objek menyerupai pistol, dua buah kenderaan, sebuah motosikal, sebilah parang dan pisau serta empat telefon bimbit.

Ujarnya, semakan lanjut latar belakang suspek mendapati, dalang digelar Bacin merupakan seorang penjawat awam yang bekerja sebagai pelukis pelan JKR, manakala seorang lagi bekas anggota selepas dibuang kerja pada 2021 dan anak pesara polis.

“Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah dan hasil saringan ujian air kencing dilakukan menunjukkan positif dadah jenis methampetamine.

“Kesemua mereka direman sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaaan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI