fbpx

MYBH tawar modal serendah RM2,000 bina produk berjenama sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Yusri menunjukkan produk keluaran syarikat di Gurun baru-baru ini.

ALOR SETAR – Sanggup bekerja selama tiga bulan tanpa dibayar gaji semata-mata untuk belajar mendalami bidang pembangunan produk kecantikan daripada seorang pengasas produk warganegara Amerika Syarikat dikenali sebagai Paul yang telah lama menginap di Perlis memberi satu pengalaman, ilmu dan kekuatan mental serta fizikal buat seorang usahawan.

Mohamad Yusri Harun, 47, terpaksa ikat perut untuk berjimat cermat sepanjang tempoh sukar itu berulang alih dari rumahnya di Jitra, Kedah ke Perlis setiap hari demi mendapatkan ilmu pembelajaran yang tidak akan diperolehnya dari mana-mana gedung ilmu.

Pengasas syarikat MYBH Ma­nufacturing Resources (MYBH) yang kini memiliki sebuah kilang di Jalan Jeniang, Gurun itu tidak menoleh ke belakang lagi menyesali apa yang dilakukan ketika itu bukan kerana gaji atau duit semata-mata tetapi ilmu, amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh usahawan asing yang ber­asal dari Belanda itu.

Bermula tahun 2014, beliau dibimbing oleh Paul untuk me­nguruskan segala kerja di kilang termasuk aspek pengeluaran, pembelian, kajian dan pemba­ngunan serta pemasaran produk penjagaan kecantikan berkualiti tinggi yang hanya menggunakan bahan asas pelbagai herba yang terdapat di utara tanah air.

Selepas tiga bulan bekerja tanpa gaji tetapi semangat me­nimba ilmu membuat produk dan berniaga terus menebal telah berjaya melepasi rekod cabaran yang ditetapkan oleh Paul sehingga membolehkan Mohamad Yusri menerima elaun RM1,500 sebulan dan seterusnya pada bulan ke enam, menerima gaji sebanyak RM3,000.

“Selepas itu barulah saya dapat membayar komitmen bulanan dengan gaji yang diperoleh, sementara itu isteri yang merupakan penjawat awam telah berkorban membantu menguruskan perbelanjaan keluarga.

“Saya berusaha dengan gigih dan sabar berdepan dengan cabaran tersebut sebab saya nampak peluang yang besar menanti di depan dan ternyata ia memberi kelebihan kepada saya untuk membuka perniagaan sendiri selepas Paul menjual syarikatnya pada tahun 2016.

“Bermula dari situ, dengan ilmu pembelajaran yang lengkap dan modal sebanyak RM500,000 me­lalui pinjaman daripada institusi kewangan tempatan telah membolehkan saya membuka bisnes sendiri sehinggalah berjaya ke peringkat sekarang.

“Lebih menarik Paul yang telah berhijrah ke negara lain masih lagi menghubungi saya untuk terus memberi semangat dan tunjuk ajar dalam perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohamad Yusri yang memiliki latar belakang pengajian dalam bidang kejuruteraan mechatro­nic itu membuka kilang pengeluaran produk kecantikan de­ngan menawarkan perkhidmatan pengilang peralatan asal (OEM) kepada usahawan yang mahu membina jenama produk sendiri dan dalam masa yang sama membangunkan produk sendirinya di bawah jenama U Seri.

Produk U Seri telah berada di pasaran sejak bulan 11 tahun lalu dengan menawarkan barisan produk pencuci muka, serum, face mist, bedak asas dan pelin­dung cahaya dengan harga jualan RM29 seunit sahaja.

Bagi kelima-lima produk tersebut dijual pada harga promosi RM90 sahaja bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai pengguna mendapat manfaat daripada produk itu.

Beliau yang berpengalaman dalam bidang kajian dan pembangunan (R&D) itu menggunakan sarang burung sebagai sumber utama pembuatan produk dengan mengambil masa kira-kira enam bulan dalam penghasilan inovasi, formula serta produk.

“Masih baru di pasaran, jualan sekarang untuk kelima-lima produk ini adalah sekitar RM20,000 hingga RM30,000 se­bulan dan melalui usaha pemasaran yang semakin aktif de­ngan sokongan daripada pengedar, ejen serta affiliate di platform TikTok, memberi keyakinan kepada saya untuk menambah lima hingga enam kali ganda jualan pada akhir tahun ini,” ujarnya.

Usahawan yang berasal dari Baling itu juga optimis terhadap kerjasama yang akan terjalin dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) selama setahun mulai Jun ini bakal memberi nilai tambah pem­belajaran secara praktikal kepada pelajar yang mengambil jurusan perniagaan untuk menjadi usahawan, sekali gus memberi kelebihan kepada syarikatnya.

Menurut beliau, kerjasama menang-menang itu akan memberi manfaat kepada MYBH menjana hasil jualan daripada pelajar yang terbabit dan pihak universiti dapat melahirkan graduan yang berpengalaman luas dalam bidang pembangunan, jualan serta pemasaran produk melalui platform online.

“Kami akan mengajar mereka membuat video dan promosi di TikTok dan pelajar yang berjaya mencapai jualan tertinggi sehingga RM5,000 pula, pihak universiti akan memberikan anugerah kepada mereka,” jelasnya.

Mengulas mengenai khidmat OEM pula, Mohamad Yusri yang pernah terlantar setahun tidak bekerja kerana menghidap pe­nyakit barah menerangkan, modal yang diperlukan hanyalah serendah RM2,000 bagi membolehkan usahawan itu memba­ngunkan produk berjenama sendiri se­perti mandian atau produk penjagaan kecantikan.

Melalui modal itu, sebanyak 100 hingga 200 unit produk boleh dihasilkan mengikut jenis barangan dan mereka boleh menjualnya di pasaran dengan mendapat bimbingan serta latihan daripada syarikatnya.

“Saya pernah mengeluarkan modal sehingga RM30,000 sebelum ini untuk membangunkan produk sendiri tetapi akhirnya gagal atas faktor pemasaran, jadi disebabkan itu saya tidak mahu usahawan lain mengulangi kesilapan dan kegagalan saya yang lalu,” ujarnya.

Buat masa ini, pendapatan MYBH diperoleh 70 peratus daripada segmen OEM dan bakinya daripada hasil jualan produk U Seri tetapi pada masa depan dijang­kakan jualan U Seri bertambah membolehkan kadar peratusan itu berubah kepada 50:50. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI