KUALA LUMPUR – Skuad badminton China memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di laman sendiri apabila merangkul gelaran ke-11 pada saingan Piala Thomas 2024 yang berlangsung di Chengdu, China.
Pada perlawanan akhir di Pusat Sukan Hi-Tech Zone sebentar tadi, China membuktikan mereka layak menghuni kedudukan No.1 dunia apabila berjaya membenam juara 14 kali, Indonesia dengan keputusan 3-1.
Perseorangan No.2 dunia, Shi Yu Qi mengekalkan aksi cemerlang pada kejohanan dwitahunan itu apabila menghadirkan mata sulung China menerusi kemenangan mudah 21-17, 21-6 ke atas Anthony Ginting dalam tempoh 43 minit.
Terdahulu, dalam aksi separuh akhir bertemu Malaysia semalam, Yu Qi mencatat keputusan hampir serupa ketika menentang Lee Zii Jia apabila menang 21-19, 21-5.
Indonesia yang tersentak dengan kekalahan awal itu cuba merapatkan kedudukan menerusi beregu, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, namun dinafikan Liang Wei Keng-Wang Chang apabila tewas 18-21, 21-17, 17-21 untuk mata kedua China.
Bagaimanapun, juara Asia, Jonatan Christie kembali merapatkan kedudukan 2-1 selepas berhempas pulas menewaskan pemenang pingat emas Sukan Asia, Li Shi Feng 21-16, 15-21, 21-17.
Beregu kedua China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu menjadi wira pasukan itu apabila memastikan kejuaraan menjadi milik mereka selepas mencatat kemenangan 21-11, 21-15 ke atas Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dalam tempoh 38 minit.

Sementara itu, dalam saingan Piala Uber, China menepati ramalan apabila muncul juara selepas turut menewaskan Indonesia 3-0, sekali gus menjadi gelaran ke-16 mereka dalam sejarah kejohanan tersebut.
China bermula langkah kanan pada aksi final yang berlangsung pagi tadi apabila perseorangan No.2 dunia, Chen Yu Fei menewaskan Gregoria Mariska Tunjung 21-7, 21-16.
Gandingan beregu, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan memastikan Indonesia mendahului 2-0 menerusi kemenangan 21-11, 21-8 ke atas Siti Fadia Silva Ramadhanti-Ribka Sugiarto sebelum He Bing Jiao melengkapkan kemenangan menewaskan Ester Nurumi Tri Wardoyo 10-21, 21-15, 21-17. – KOSMO! ONLINE