PEMBINAAN sebuah stadium sememangnya menelan belanja besar, memandangkan ia perlu dilengkapi dengan pelbagai fasiliti moden dan canggih.
Selain itu, stadium yang menyediakan lebih banyak kemudahan seperti tempat duduk dan ruangan parkir kereta mampu membantu pihak pengurusan menjana pendapatan lumayan.
Minggu ini, Panorama ingin kongsikan lima stadium paling mahal di dunia.
1. Stadium SoFi (RM26.22 bilion)
Stadium paling mahal di dunia adalah Stadium SoFi yang terletak di Inglewood, California, Amerika Syarikat.
Kos pembinaan stadium tersebut dianggarkan berjumlah AS$5.5 bilion (RM26.22 bilion) dan ia siap dibina pada September 2020.
Ia mampu memuatkan sehingga 70,000 orang penonton dan dijangka akan menjadi tuan rumah pada acara pembukaan serta penutup Sukan Olimpik 2028.
2. Stadium Allegiant (RM9.06 bilion)
Pembinaan Stadium Allegiant yang terletak di Las Vegas, Amerika Syarikat dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$1.9 bilion (RM9.06 bilion).
Siap dibina pada 2020, stadium yang mampu memuatkan seramai 65,000 orang penonton itu merupakan stadium bagi University of Nevada, Las Vegas.
Ia memiliki keluasan hampir 185,806 meter persegi, stadium itu dilengkapi bumbung lut sinar dan dinding boleh dibuka.

3. Stadium MetLife (RM7.63 bilion)
Stadium MetLife yang terletak di New Jersey, Amerika Syarikat dianggarkan bernilai AS$1.6 bilion (RM7.63 bilion).
Stadium ini mampu memuatkan sehingga 83,000 orang penonton pada satu-satu masa dan siap dibina pada 2010.
Antara teknologi pintar yang ada pada stadium tersebut termasuk lampu berwarna hijau atau biru (bergantung kepada pasukan tuan rumah). Stadium ini juga dilengkapi lebih 2,200 paparan berdefinisi tinggi (HD) di seluruh bangunan.
4. Stadium Mercedes-Benz (RM7.15 bilion)
Stadium Mercedes-Benz yang terletak di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat bernilai AS$1.5 bilion (RM7.15 bilion) merupakan antara stadium termahal dunia.Mampu memuatkan sehingga 81,000 penonton, antara ciri khas yang ada pada stadium tersebut adalah bumbung yang boleh dilaras secara automatik. Ia bertujuan memberikan gambaran visual menyerupai sayap burung apabila dibuka. Pada Mac 2019, Stadium Mercedes-Benz menjadi stadium tanpa tunai pertama di dunia. Ia hanya menerima kad kredit dan debit untuk transaksi.
5. Stadium Yankee (RM7.15 bilion)
Stadium Yankee di New York, Amerika Syarikat bernilai AS$1.5 bilion (RM7.15 bilion) dan mampu memuatkan sehingga 50,000 penonton pada satu-satu masa.Stadium itu pada asalnya dibina pada 1922 yang mana kos keseluruhan pembinaan ketika itu ditaja oleh pemilik pasukan besbol Yankees, Jacob Ruppert.Sejak pembinaannya, stadium itu menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara popular di Amerika Syarikat termasuk perlawanan besbol, acara tinju dan konsert.














