fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: Jangan termakan hasutan perkauman 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke ketika berucap pada Cerama Mega Perpaduan di Bandar Baru Batang Kali, malam tadi.Foto SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

HULU SELANGOR – Pengundi dinasihatkan untuk tidak termakan dengan unsur perkauman yang dimainkan segelintir pihak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kerajaan Perpaduan mengamalkan politik permuafakatan yang dibuktikan menerusi sokongan pengundi Cina kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya sebelum ini.

“Di kawasan yang diwakili wakil rakyat Melayu, pengundi Cina dan India secara ‘solid’ (jitu) memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

“Sebagai contoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat Datuk Seri Aminuddin Harun yang bertanding di bawah Parlimen (Seremban) saya, 95 peratus pengundi Cina sokong dia.

“Kalau orang Cina dan India boleh sokong wakil rakyat Melayu, apa salahnya pengundi Melayu menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan daripada kaum Cina,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan di Bandar Baru Batang Kali, di sini semalam.

Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan calon PH, Pang, Sock Tao, calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut, calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Sehubungan itu, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, calon Kerajaan Perpaduan merupakan pilihan yang tepat bagi menjaga semua kaum di Kuala Kubu Baharu.

“Itu politik yang kita amalkan. Kononnya kita nak pilih hanya daripada kaum (Cina) sahaja. Ini tak boleh, (kerana) Malaysia (mempunyai) masyarakat majmuk. Yang benar-benar kerjasama antara kaum ialah Kerajaan Perpaduan (yang mana) PH bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

“Inilah kekuatan kita. Jadi, saya harapkan pengundi, pastikan 11 Mei ini kita dapat mengekalkan Kuala Kubu Baharu dan teruskan kerja bangunkan Selangor serta majukan Malaysia sekali gus membawa kesejahteraan kepada semua rakyat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI