fbpx

Perkeso bayar faedah RM5 juta melalui SKSPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven (tengah) menyerahkan sijil caruman SKSPS kepada penjaja di Pasar Awam Taman Sri Rambai, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuat pembayaran faedah berjumlah hampir RM5 juta kepada Orang Berinsurans (OB) yang mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di seluruh negara sejak Januari hingga 31 Mac lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pencarum menerima manfaat dalam bentuk faedah sekali gus membantu meringankan beban yang ditanggung.

Menurutnya, di Pulau Pinang, pembayaran faedah berjumlah RM320,000 telah diberikan kepada pencarum di negeri ini bagi tempoh sama.

“Tahun ini, kita menyasarkan 1 juta pekerja sendiri untuk mencarum SKSPS dan setakat ini, sudah ada 500,000 pencarum aktif.

“Kita mahu mereka tahu bahawa individu yang bekerja sendiri turut boleh dilindungi dan berpeluang menikmati pelbagai faedah antaranya faedah perubatan, kehilangan upaya sementara dan kekal sekiranya ditimpa kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Tajaan SKSPS Kepada Penjaja Kawasan Bukit Mertajam di Pasar Awam Taman Sri Rambai, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen dan Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim.

Seramai 2,000 penjaja yang berdaftar di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima manfaat penuh SKSPS yang mana 90 peratus bayaran caruman untuk tempoh setahun ditanggung kerajaan manakala 10 peratus lagi dibiayai wakil rakyat setempat.

Dalam pada itu, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM100 juta menerusi Belanjawan 2024 untuk menanggung 90 peratus nilai caruman SKSPS.

“Justeru, kita berharap lebih ramai golongan bekerja sendiri akan mengambil peluang ini untuk mencarum SKSPS bagi membolehkan mereka dilindungi ketika menjalankan tugas,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI