fbpx

Ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGARAH Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian ubat dan kosmetik yang dirampas di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) berjaya merampas 116 jenis ubat tidak berdaftar dan 49 jenis kosmetik tidak bernotifikasi dengan nilai rampasan berjumlah RM1 juta.

Rampasan terbabit dilakukan dalam satu operasi dinamakan Operasi LHT di tiga buah premis kediaman dan sebuah kenderaan di sekitar daerah ini, semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, operasi dilakukan hasil risikan selama enam bulan susulan aduan awam berkenaan penjualan ubat-ubatan yang disyaki tidak berdaftar melalui platform e-dagang oleh sebuah syarikat tempatan.

“Hasil pemeriksaan ke atas tiga buah premis kediaman dan sebuah kenderaan milik syarikat berkenaan menjumpai sebanyak 116 jenis ubat tidak berdaftar dan 49 jenis kosmetik tidak bernotifikasi serta turut dijumpai empat peranti digital yang digunakan bagi tujuan jualan secara dalam talian.

“Kesemua ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan peranti digital itu dirampas,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan mendapati suspek telah bergiat aktif menjual ubat-ubatan berkenaan secara dalam talian dengan harga yang lebih murah.

Katanya, antara jenis ubatan yang dijual termasuk ubat antibiotik untuk penyakit kulit selain ubat makan untuk masalah sakit sendi dan tenaga batin.

Rusdi memberitahu, tindakan mahkamah akan diambil ke atas syarikat dan individu terlibat berikutan penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi berkenaan yang melanggar Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Bagi kesalahan itu, jika didapati bersalah suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,”katanya.

Sementara itu Rusdi berkata, operasi itu membuktikan bahawa JKNP memberi perhatian yang serius tentang isu penjualan ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang dijual secara dalam talian.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI