fbpx

Lelaki menyamar orang tengah bebaskan tahanan imigresen ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

TEMERLOH – Tindakan seorang lelaki yang menyamar sebagai orang tengah bagi membebaskan tahanan Imigresen untuk memperdaya mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,000 membawa padah apabila dia ditahan pihak polis semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, suspek yang berusia 35 tahun ditahan di Terminal Bas Chukai Terengganu kira-kira 30 minit selepas mangsa penipuan berkenaan membuat laporan polis.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu suspek telah menawarkan perkhidmatan kepada seorang warga Myanmar untuk membebaskan isteri mangsa daripada tahanan di Depot Imigresen Kemayan Bera dengan bayaran sebanyak RM3,000.

“Namum mangsa yang berusia 26 tahun telah menyedari ditipu apabila isterinya tidak dibebaskan sebelum mangsa membuat laporan polis,”katanya di sini hari ini.

Menurut Mazlan sebaik sahaja laporan dibuat polis yang melakukan siasatan berjaya mengesan suspek sedang manaiki bas menghala ke Kelantan.

Katanya, hasil kerjasama dengan syarikat bas ekspres terbabit dan dengan bantuan Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kemaman, polis berjaya menahan suspek di Terminal Bas Chukai, Terengganu.

Katanya, susulan penahanan suspek, polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM2,700 yang dipercayai hasil penipuan dilakukan suspek.

Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah iaitu dibawah seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan) dan Sekyen 420 Kanun Keseksaan,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI