fbpx

Pengukuhan Pharmaniaga bantu beri pulangan positif kepada LTAT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (dua kiri) melihat antara jenis ubat-ubatan ketika hadir bagi pembentangan mengenai operasi PT. Millennium Pharmacon International Tbk di Bogor, Jakarta, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO

JAKARTA – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dijangka menerima pulangan lebih positif kelak, sekiranya anak syarikatnya iaitu Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) terus mengukuhkan pengeluaran farmaseutikal di Indonesia.

Ketika ini, Pharmaniaga mempunyai dua anak syarikat di Indonesia iaitu PT Millennium Pharmacon International Tbk dan PT Errita Pharma yang berperanan mengeluar dan mengedarkan ubat-ubatan di republik berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sentiasa mengharapkan agar semua pelaburan dilaksanakan LTAT mendatangkan pulangan baik termasuk menerusi anak syarikat Pharmaniaga.

“Jadi, kehadiran saya di Indonesia untuk melihat pelaburan dibuat oleh Pharmaniaga dan sejauh mana wajar untuk kita buat keputusan sama ada perlu diteruskan, diperluas dan sebagainya.

“Ia juga memberi gambaran berhubung hala tuju, strategi serta masa depan untuk dibuat oleh Pharmaniaga di Indonesia,” katanya selepas mengadakan lawatan di PT Millennium Pharmacon International Tbk, di sini tadi.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md. Hasrin Tengku Hussin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, menerusi kunjungan itu, pihaknya juga mendapat gambaran menyeluruh mengenai potensi serta cara memperbaiki pulangan pelaburan di Indonesia menerusi Pharmaniaga.

“Antaranya ialah dengan melihat mengenai ubat-ubatan yang dikeluarkan oleh Pharmaniaga di Malaysia dan berapa jumlahnya yang boleh dikeluarkan oleh kilang di Indonesia.

“Jika di Malaysia, kita mengeluarkan sebanyak 380 jenis ubat, tetapi di Indonesia, jumlahnya sekitar 118 sahaja selain mempunyai potensi untuk mengeluarkan dalam skala lebih besar,” ujarnya.

Susulan itu, katanya, pihaknya akan memperhebatkan lagi kaedah penjualan dan pengedaran selain memperkukuh urusan berkaitan pinjaman daripada institusi perbankan.

“Jadi daripada semua itu, kalau dapat dipastikan, maka seperti Eritta yang 100 peratus dimiliki oleh Pharmaniaga, maka wajar kita boleh jangkakan pulangan lebih baik kepada LTAT,” katanya.

Ketika ini, Mohamed Khaled sedang dalam rangka lawatan kerja rasmi di Jakarta di mana beliau turut dijadualkan bertemu dengan Menteri Pertahanan Republik Indonesia yang juga Presiden Terpilih, Jeneral Prabowo Subianto pada Selasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI