fbpx

Berdosa buka aib isteri, orang tak dikenali – Ustaz Don Daniyal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ustaz Don berpesan kepada orang ramai agar sentiasa menjaga batas mendedahkan aib terutama dalam kalangan pasangan suami isteri - AFIQ RAZALI

PUTRAJAYA – “Berdosa dan salah di sisi agama Islam buka aib isteri dan orang tidak dikenali.”

Demikian ulasan pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal, mengenai trend mendedahkan aib pasangan dan orang lain yang semakin hangat di media sosial sejak kebelakangan ini.

Enggan terpalit dengan sebarang kontroversi, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal bin Don Biyajid, 40, mengulas perkara itu secara umum tanpa menyebut nama mana-mana pihak.

Bahkan Ustaz Don menerangkan tentang larangan menyebarkan aib menerusi sebuah cerita tentang pasangan suami isteri.

“Bagi menjelaskan tentang aib, saya jawab dengan satu kisah. Ada seorang suami, hadir ke mahkamah untuk menyebut lafaz cerai terhadap isterinya. Sebelum menceraikan isteri, ada orang bertanya apa yang telah dilakukan isterinya sehingga menyebabkan mereka bercerai?

“Tapi suami ini kata, maaf, saya tidak boleh jawab soalan yang ditanya kerana menceritakan aib isteri dimarah Allah.

“Selepas dia lafazkan cerai, sekali lagi dia ditanya soalan yang sama kerana wanita itu bukan lagi isterinya.

“Tapi lelaki itu jawab, maafkan saya menceritakan buruk orang lain kepada orang lain adalah salah dalam Islam,” katanya.

Kisah tersebut adalah teguran dan peringatan kepada masyarakat mengenai dosa membuka aib tidak kira menerusi cara apa sekalipun termasuklah dalam media sosial.

Namun begitu, pengacara program bual bicara Malam Ini Ustaz Don tu tidak menafikan kebaikan media sosial jika digunakan dengan berhemah.

“Hari ini media sosial adalah segalanya. Jadi kebanyakan orang berharap mereka boleh mendapat jawapan pelbagai masalah dari media sosial. Kita tidak boleh marah kalau orang cari pandangan di media sosial.

“Apa yang kita kena buat, sebagai pengguna harus ingat bahawa tujuan asal hantaran dibuat adalah untuk minta pandangan dari orang lain, bukannya minta orang lain buat keputusan untuk kita.

“Ramai orang kehilangan pasangan yang baik kerana ambil nasihat daripada orang yang salah. Jika anda seorang yang sukar buat keputusan, jangan tanya (tentang masalah peribadi) di media sosial. Mungkin orang yang beri nasihat itu belum ada pengalaman berkahwin pun,” jelasnya.

Tegas Ustaz Don lagi, apabila seseorang individu itu berkongsi sesuatu dalam media sosial, mereka harus bersedia untuk menerima respons yang pelbagai daripada orang ramai.

“Kita tidak boleh kawal orang. Ada orang bodoh dan pandai. Kita tak boleh pandaikan orang bodoh.

“Jika kita mahu pergi ke media sosial, kita kena bersedia untuk mendengar pandangan khalayak,” jelasnya yang ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Agami Group baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI