fbpx
MOIRA

Penyanyi Filipina Moira ‘ketagih’ makan nasi lemak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN mudah untuk membina nama sebagai penghibur terkenal. Semua itu memerlukan gandaan usaha dan semangat juang berterusan.

Perkara sama perlu dihadapi penyanyi jelita asal Filipina, Moira yang mengakui sukar meraih perhatian ramai pada awal kemunculan sekitar tahun 2010, bahkan berkali-kali berdepan kegagalan.

Pun begitu, berbekalkan tekad selain percaya dengan bakat dimiliki, pemilik nama penuh Moira Rachelle Bustamante Cruzado Dela Torre terus menelan segala pahit dan sehingga kini menjadi antara penghibur kegemaran ramai terutama golongan muda.

MENGAKUI tertarik dengan muzik tradisional Melayu, Moira ingin bereksperimentasi, namun belum berkesempatan. 

 

Meneruskan kecemerlangan karier selepas mencipta kejayaan di negara kelahirannya, Moira enggan menunggu lama untuk bertemu dengan peminat di seluruh dunia.

Konsert

Hadir ke Malaysia menghiburkan pemuja bakatnya yang sudah lama menantikan saat indah itu menerusi penganjuran konsert jelajah Moira World Tour 2024.

Lebih mengujakan, Kuala Lumpur merupakan lokasi pertama dipilih bagi menjayakan persembahan mega yang berlangsung pada 20 April lalu di The Exchange Hall.

Meskipun perasaan teruja membuak-buak, wanita berusia 31 tahun itu bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan rasa gementar kendatipun lebih sedekad berkelana dalam industri hiburan.

Seperti bermimpi, wanita peramah itu sebenarnya tidak menyangka mempunyai ramai penggemar tegar dari negara ini yang dikatakan memahami alur perjalanan kariernya.

“Walaupun ini merupakan konsert pertama saya di sini, tetapi sebelum ini saya pernah datang ke Kuala Lumpur sebagai pelancong.

“Bagi saya, pemilihan bandar raya indah ini sebagai lokasi pertama siri jelajah konsert saya amat tepat kerana saya begitu dekat dengan peminat di sini.

MEMBAWAKAN 20 lagu, Moira World Tour 2024 juga disertai artis tempatan, Ismail Izzani. – IQBAL ROSLI / INSTAGRAM MOIRA

“Kalau diikutkan, Malaysia sepatutnya menjadi lokasi terakhir untuk siri jelajah konsert saya tahun lalu, namun ada beberapa situasi tidak mengizinkan untuk saya membuat persembahan di sini ketika itu,” ujarnya panjang lebar.

Moira World Tour 2024 yang mendapat sambutan disertai dengan persembahan pembukaan oleh TJ dan artis tempatan Ismail Izzani.

Menerusi konsert itu, Moira menyanyikan lebih 20 buah lagu selama 90 minit sebelum berkunjung pula ke California pada 18 Mei nanti.

Dalam pada itu, penyanyi terbabit mengakui turut menyatakan rasa teruja dan gementar bertemu peminatnya di sini.

“Jujur, saya memang tidak boleh menyembunyikan rasa gemuruh ini, maklum sahaja, ini kali pertama bertemu peminat saya di sini.

“Jadi, saya mohon maaf kepada peminat yang sudah pun membeli tiket untuk menonton konsert saya tahun lalu dan inilah janji yang saya kotakan tahun ini.

“Ramai yang sudah lama menunggu terutama sejak tahun lalu, dan pastinya ramai yang meletakkan jangkaan tinggi untuk konsert kali ini,” tambahnya.

Enggan melepaskan peluang, penulis sempat bertanya perihal selain konsert termasuk perkara yang dicintainya di Malaysia.

Suka makanan, budaya Malaysia

Tidak sempat menghabiskan pertanyaan, wanita kelahiran daerah Olongapo itu dengan pantas menjawab makanan serta budaya istimewa.

Ujarnya, Malaysia sarat dengan budaya yang unik dan menarik selain makanan yang sangat sedap untuk dicuba.

“Sebenarnya makanan Malaysia ada yang hampir sama dengan Filipina tapi tidaklah semua.

“Saya suka sangat dengan nasi goreng dan nasi lemak, sekali makan jadi ketagih, teringat-ingat jadinya.

TIADA lagi gelaran sendu, Moira pernah menjulang anugerah ‘Most Streamed Filipina Artist’ selama tujuh tahun berturut-turut.

“Kalau datang bercuti di sini memang nasi goreng yang saya cari dahulu, kalau pencuci mulut saya suka air batu campur,” tuturnya teruja.

Tambah pelantun lagu Dito Ka Lang itu, dia juga berminat dengan muzik tradisional di Malaysia, namun masih belum berpeluang mengeksplorasi secara teliti.

“Saya belum berkesempatan lagi untuk mendengar muzik tradisonal Melayu tetapi saya akui alunannya unik dan menarik.

“Malaysia memang kaya dengan budaya dan suku kaum yang sangat peramah, disebabkan itu saya suka bercuti di sini,” katanya.

Artis paling banyak distrim

Ditanya mengenai perkembangan terkini selain konsert, bekas peserta The Voice of the Phillipines itu bersyukur semakin dikenali baik dalam negara mahupun luar negara.

Lebih mengujakan, Moira pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk ‘Most Streamed Filipina Artist’ selama tujuh tahun berturut-turut.

“Saya bersyukur sangat-sangat orang sudah hargai bakat saya, lama saya mencuba, masuk pertandingan dan sebagainya.“Betul lah kata orang, bila kita berusaha memang Tuhan akan bagi imdah pada waktunya.

“Terima kasih kepada semua peminat yang menyokong saya secara berterusan,” ujarnya menutup bicara.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN