fbpx

Penerbangan bawa balik jenazah mendiang Joseph Kurup ke Sabah dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mendiang Joseph.

PETALING JAYA – Penerbangan membawa jenazah mendiang pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup balik ke Sabah yang dijadualkan berlepas pukul 9.15 pagi, hari ini, terpaksa dibatalkan susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia.

Media sebelum ini melaporkan jenazah mendiang sepatutnya dibawa pulang melalui penerbangan komersial dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu bagi upacara penghormatan terakhir yang diadakan di Fook Lu Siew Funeral Parlour di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu, Sabah.

Menerusi kenyataan ringkas yang dikeluarkan pegawai media anak mendiang, Datuk Arthur Joseph Kurup, segala perkembangan semasa mengenai penerbangan membawa pulang jenazah akan dimaklumkan semula nanti.

“Saya akan maklum semula waktu penerbangan terkini setelah mendapat maklum balas daripada pihak Malaysia Airlines. Maaf atas segala kesulitan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan mendiang Joseph meninggal dunia pada usia 80 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Joseph pernah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2013-2018.

Selain itu, mendiang juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Pembangunan Sumber dan Usahawan, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pada Januari tahun lalu, mendiang mengumumkan telah bersara dalam politik dan melepaskan jawatan sebagai Presiden PBRS.

Sementara itu, Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) dalam kenyataan memaklumkan syarikatnya terpaksa membatalkan beberapa penerbangan dari dan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sabah dan Sarawak hari ini, berikutan letusan Gunung Berapi Ruang di Utara Sulawesi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI