fbpx

MCMC selesai rakam percakapan Chegubard, Salim Iskandar dan Papagomo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Papagomo (kiri) dan Chegubard (kanan).

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selesai merakam percakapan tiga pemilik akaun media sosial iaitu Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) berhubung kandungan yang dimuat naik mereka sebelum ini.

Menurut MCMC, rakaman percakapan membabitkan Chegubard dan Salim Iskandar dilakukan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberhaya, Selangor, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, rakaman percakapan bagi Papagomo dilakukan di Balai Polis Setapak.

“Penyebaran kandungan tidak benar dengan niat mengganggu pihak lain adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Setelah selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, MCMC berkata, pegawai penyiasat turut menyita telefon bimbit milik ketiga-tiga individu terbabit yang digunakan mereka untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu,” katanya.

Pada Januari lalu, tiga individu sama pernah tampil memberi keterangan berhubung dakwaan terbabit dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan yang dikenali sebagai Langkah Dubai di balai polis Setapak. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI