fbpx
Orang ramai pulang ke kampung sempena Aidilfitri minggu lalu.- Gambar hiasan

Jalan sesak, pasar penuh tanda berduit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Beberapa minggu sebelum raya, kita membaca berita mengenai sebahagian orang tidak dapat membeli kelengkapan raya kerana kekangan kewangan, mahu bertahan sehingga gaji akan datang selain simpanan telah digunakan untuk persekolahan anak.

Bagaimanapun, sejak Jumaat sehingga Isnin lepas, kita terbaca pula berita mengenai jalan sesak luar biasa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pulang berhari raya.

Ada yang terperangkap antara 15 hingga 20 jam. Bertambah kacau apabila ada orang keluar rumah pagi dan tiba di destinasi pada pagi esoknya.

Selain jalan sesak, pasar-pasar dan gerai menjual daging serta ayam di tepi jalan juga penuh dengan manusia.

Peniaga santan pula sibuk memenuhi permintaan pelanggan yang sudah membuat tempahan awal.

Kawan yang memandu kenderaan e-hailing mengatakan tidak dapat berehat kerana tempahan tidak putus-putus sehingga 1 Syawal.

Bazar Ramadan di Lembah Klang juga sesak sehingga penghujung bulan puasa.

Ini bermakna masih ramai yang berada di ibu kota pada petang Selasa sebelum sambutan 1 Syawal.

Peniaga di bazar Aidilfitri yang pada mulanya merungut tiada pembeli, tersenyum lebar kerana rupa-rupanya ramai membuat pembelian pada saat akhir.

Orang ramai juga berpusu-pusu beratur di bank untuk menukar duit raya sehinggakan ada ketika wang pula kehabisan.

Bank pula terpaksa menyediakan wang lama di samping duit baharu untuk ditukar kerana terlalu ramai yang mahu berbuat demikian. Kalau tiada duit, bagaimana mahu tukar kan?

Di sebalik rasa simpati atas kekecewaan yang dikongsi oleh rakan-rakan yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, kita terfikir sudah tentu mereka ini memerlukan wang untuk bergerak dan menyambut hari lebaran.

Orang tidak pergi pasar kalau hanya mahu ‘cuci mata’. Sudah tentu membawa wang untuk membeli barangan keperluan untuk memasak hidangan raya.

Sebenarnya orang kita ini mempunyai wang atau sebaliknya?

Adakah rungutan di media sosial itu sekadar menambahkan cerita sedih untuk menagih simpati.

Tidak dinafikan memang ada yang benar-benar memerlukan bantuan, tetapi terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan mengeruhkan lagi keadaan padahal dia antara golongan yang berbelanja ketika lebaran.

Apapun setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menyambut lebaran. Tidak dapat tidak Aidilfitri perlu diraikan walaupun secara sederhana.

Lagi satu, ramai juga bikin parodi lagu raya dengan beramai-ramai beraksi di dalam aplikasi TikTok berlatar belakangkan irama terkini dendangan Nabila Razali dan De Fam.

Ia menunjukkan masih ramai yang berasa gembira dan teruja untuk menghiburkan sesama netizen.

Kita juga suka melihat keceriaan pada wajah kanak-kanak di saat duit raya bertukar tangan. Ini barulah raya!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN