fbpx

‘Kingu Ginseng Candy’ ada racun berjadual, tidak patuh pelabelan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kingu Ginseng Candy yang mengandungi racun berjadual tadalafil.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan produk gula-gula ginseng dari Malaysia iaitu ‘Kingu Ginseng Candy’ dikesan mengandungi racun berjadual, tadalafil dijual di platform dalam talian, Lazada.

KKM berkata, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menjalankan siasatan dan saringan awal mendapati mendapati label produk tersebut juga tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Jelasnya, produk tersebut tiada nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar, empunya hak untuk mengilang serta pengimport.

“Sehubungan itu, pihak Lazada telah diarahkan untuk memadam kandungan iklan dan penjualan produk tersebut serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengeluarkan nasihat terhadap produk Kingu Ginseng Candy itu yang dikesan mengandungi tadalafil.

Tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk.

Menurut KKM, ubat-ubat yang mengandungi tadalafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.

“Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan kesihatan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya.

“Ini termasuk kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” ujarnya.

Dalam pada itu, KKM menegaskan, status keselamatan produk-produk di pasaran termasuk produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti tadalafil sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

Katanya, sejak tahun 2018 sehingga kini, daripada 1,575 sampel produk yang diambil kerana disyaki mengandungi racun berjadual, 32 sampel (2.03 peratus) didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat dan produk terlibat.

“Menurut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan,” katanya.

KKM memaklumkan, jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Ujarnya, mana-mana peniaga termasuk peniaga dalam talian yang mempunyai stok produk ini diarahkan untuk menghentikan serta merta penjualan produk berkaitan.

“Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini pula perlu menghentikan penggunaan dan mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI