DENGKIL – Ketika umat Islam lain bergembira menyambut Adilfitri bersama keluarga, namun penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) sebak terkenang keluarga terutama anak-anak yang ditinggalkan.
Seorang penghuni Puspen Dengkil di sini, Damia, 32, (bukan nama sebenar) mengakui tidak dapat menahan sebak setiap kali terkenangkan telatah dua anak perempuannya yang paling dirindui.
Ujarnya yang berasal dari Bintulu, Sarawak, dia terpaksa memberi alasan sedang mendapatkan rawatan di hospital setiap kali anak-anak yang masing-masing berusia sembilan tahun dan setahun itu bertanya keberadaannya kepada nenek mereka.
“Anak-anak tanya ibu saya yang menjaga mereka sekarang ‘Kenapa lama sangat mama masuk hospital? Mama sihat ke tak, ada orang jaga mama tak’. Anak-anak tahu saya memang selalu masuk hospital, cuma kali ni mereka pelik kenapa lama sangat saya ‘menghilang’.
“Bila saya dengar tu, memang perasaan kesal 1,000 kali kesal sebab terjebak dengan najis dadah. Rindu sangat-sangat dengan telatah mereka sebab biasanya setiap kali raya, anak-anak mesti tanya nak pakai baju raya warna apa,” katanya dengan nada sayu ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Damia berkata, dia mula terjebak dalam kancah dadah seawal usia 21 tahun apabila terlibat dalam pergaulan bebas hingga menjadi ‘tokan’ bekalan ke Semenanjung.
“Semasa mendirikan rumah tangga, suami langsung tidak mengetahui kegiatan pengambilan dadah saya dan waktu itu pun saya berhenti sebentar kerana mengandung. Sampailah kami bercerai, saya mula bergiat aktif kembali mengambil dadah.

SEBAHAGIAN penghuni sibuk membuat kuih raya di Puspen Dengkil
baru-baru ini.
“Sampailah saya bawa anak ke Klang, Selangor kononnya nak mula hidup baharu, tapi masih gagal dan makin teruk. Jumpa pula orang-orang yang salah, hidup saya lagi tidak tenteram.
“Kemudian saya tekad untuk berubah demi anak-anak sebelum serahkan diri secara sukarela kepada AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan). Kini dah lapan bulan saya di sini. Alhamdulillah, saya temui keyakinan dan kekuatan untuk terima diri sendiri semula,” katanya.
Berkongsi kerinduan sama, Juliana, 41, (bukan nama sebenar) berkata, dia terlampau rindu mendengar panggilan ‘mama’ daripada 11 anaknya, sekali gus ingin memohon keampunan kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu kerana terjebak dengan dadah.
Menyingkap kembali detik hitam dalam hidupnya, anak kelahiran Pontian, Johor itu berkata, sejak suaminya meninggal empat tahun lepas, dia seperti hilang arah dan bimbingan sehingga terpedaya dengan ajakan kawan untuk mengamalkan gaya hidup tidak sihat.
“Saya pula jenis kuat kerja, jadi ambil dadah seperti syabu dan methamphetamine untuk kekal bertenaga.
“Rumah sewa diserbu dan saya ditahan untuk menjalankan pemulihan di sini.
Bagi Iera, 31, (bukan nama sebenar) perkara paling dirindui apabila menyambut Aidilfitri berjauhan dengan keluarga yang tinggal di Kota Bharu, Kelantan adalah menziarahi pusara arwah bapa yang meninggal dunia empat tahun lepas.
Ujar anak ke lapan daripada 12 beradik itu, keputusan untuk mendapatkan pemulihan di Puspen pada 11 bulan lalu secara sukarela merupakan pilihan terbaik bagi menebus dosa lampau terhadap keluarga tercinta.
“Mula terlibat ambil dadah sejak usia 19 tahun akibat terlampau bersosial. Pernah cuba nak berubah tapi tak berjaya lagi-lagi lepas bercerai dengan suami pada lima tahun lepas,” katanya.














