BESUT – Seorang tukang jahit tidak menyangka tindakannya melanjutkan tarikh akhir tempahan busana raya dan mempromosi perkhidmatannya di media sosial berhasil apabila pelanggannya semakin bertambah.
Tuan Ramlah Tuan Razi, 46, berkata, pendekatan tersebut diambil selepas tempahan baju raya diterima merundum berbanding sebelum ini.
Menurutnya, setelah promosi dilakukan, tempahannya meningkat sehingga 300 helai berbanding kurang 100 helai pada awal bulan Ramadan lalu.
“Dulu ramai pelanggan sehingga terpaksa menutup tempahan sebulan sebelum bulan puasa tetapi sekarang tidak lagi.
“Pilihan pakaian raya siap sangat banyak dan lebih murah sekali gus memberi cabaran besar buat tukang jahit seperti kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Peroi di sini semalam.
Tambahnya, tidak mahu hanya berpeluk tubuh, dia giat mempromosikan perkhidmatannya di media sosial selain melanjutkan tarikh akhir tempahan sehingga minggu kedua Ramadan.
Jelasnya, strateginya itu berkesan apabila tempahan diterima lebih dua kali ganda dengan mampu meraih sehingga RM4,000.
“Saya terima tempahan bukan sahaja dari sekitar daerah ini malah seluruh Terengganu dan Kelantan.
“Kebanyakan mereka menempah baju kurung, jubah, baju Melayu dan kurta,” ujarnya.
Menurutnya, pakaian yang ditempah biasanya lebih selesa dipakai kerana dijahit mengikut ukuran badan pelanggan.
“Saya juga menyediakan perkhidmatan mengecilkan saiz baju dan memotong lebihan bahagian kaki seluar bagi menambah pendapatan,” katanya.















