fbpx
JAMIL (kiri) menggayakan baju Melayu teluk belanga yang mendapat tempahan tinggi pada Aidilfitri kali ini.

‘Ramai tempah baju Melayu teluk belanga kerana Agong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Tempahan baju Melayu teluk belanga sempena Aidilfitri tahun ini me­lonjak berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan imej serta penampilan segak yang dibawa oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Tukang jahit pakaian tradi­sional, Jamil Suhaimi, 57, berkata, peningkatan itu berkait rapat dengan pertabalan Seri Paduka Baginda selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17 awal tahun ini.

“Sebelum ini, busana teluk belanga menjadi popular disebabkan kebangkitan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), namun kini ia melonjak kembali setelah Sultan Ibrahim dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Pakaian itu bukan sahaja diminta oleh rakyat Johor, malah rakyat Malaysia dari pelbagai negeri lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sempena Aidilfitri yang bakal disambut minggu ini, Jamil memberitahu, dia tidak menang ta­ngan untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

“Untuk Aidilfitri tahun ini, saya mula terima tempahan sejak Jun tahun lalu. Jika dianggarkan saya menerima kira-kira 2,000 tempahan baju Melayu dan baju kurung wanita.

“Setelah melihat jumlah tempahan meningkat, saya berhenti terima tempahan sejak Disember lalu, kerana mahu fokus menyiapkan tempahan yang telah diterima sebelum itu,” ujarnya.

JAMIL menggayakan baju Melayu teluk belanga yang mendapat tempahan tinggi pada Aidilfitri kali ini.

Dia yang mempunyai pelanggan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah ahli politik turut memberitahu, kejatuhan mata wang ringgit ketika ini tidak mengurangkan tempahan yang diterima.

“Selain pelanggan warga tempatan, saya juga terima banyak tempahan daripada pelanggan warga Singapura,” jelasnya lanjut.

Seorang lagi tukang jahit, Sham Ismaniza Ismail, 54, pula memberitahu, dia tidak menjangka keputusan untuk berpindah ke Johor telah memberi manfaat kepada perniagaan jahitan pa­kaiannya.

“Sebelum berpindah ke Johor, saya merupakan seorang tukang jahit di Kedah selama 10 tahun. Saya baru berpindah ke Johor sejak tiga bulan lalu.

SHAM ISMANIZA menerima tempahan tinggi baju raya daripada pelanggan termasuk daripada warga Singapura di Johor Bahru baru-baru ini.

“Namun alhamdulillah, setelah mempromosikan perkhidmatan menjahit pakaian tradisional ini di media sosial, saya mula me­nerima tempahan khususnya untuk Aidilfitri ini.

“Saya tidak jangka perkara itu kerana kebiasaannya pe­langgan menempah pakaian Aidilfitri enam bulan awal, namun saya masih terima tempahan baju bulan lalu.

“Selepas mengiklankan perkhidmatan ini, hampir setiap hari saya terima panggilan dan kunjungan pe­langgan untuk me­nempah baju, termasuk daripada warga Singapura,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN