fbpx

Reda pasrah, tiada apa lagi yang tinggal di Gaza – Nadir Al-Nuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Nadir Al-Nuri

PETALING JAYA – “Pertama kali sejak 11 tahun memberi kepada penduduk di Gaza, anak-anak saya pula terpaksa menerima ihsan bantuan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Pada masa ini, keluarga beliau berlindung di Rafah, malah mereka tidak mempunyai sebarang harta di sana selain perlu mendapatkan bantuan ihsan, sedangkan selama ini mereka yang menjalankan gerak kerja menghulurkan sumbangan.

“Sejak minggu kedua genosid bermula lagi, keluarga saya terpaksa berpindah-randah dari rumah ke rumah. Di bandar Gaza berpindah tiga, empat kali sebelum berjalan berjam-jam ke Khan Yunis di selatan sebelum berpindah pula ke Rafah.

“Anak-anak saya terpaksa menerima ihsan diberikan bantuan pakaian untuk menahan tubuh daripada menggeletar kesejukan, menerima pek makanan supaya tidak kelaparan.

“Kemudian kami dimaklumkan pula bahawa rumah kami di bandar Gaza dimusnahkan kerana dijadikan pengkalan penjajah beroperasi. Segala harta kami dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kita digeladah dan dicampak, segala kenangan dan memori dikoyak-rabak,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, biarpun begitu, ia tidak sesekali melemahkan pasukan NGO beliau untuk terus memberikan bantuan kepada rakyat Palestin yang masih ditindas tentera penjajah rejim Zionis Israel.

“Saya tahu bahawa kami tidak lagi mempunyai apa-apa, malah kenderaan yang kami miliki pun berlubang di sini sana akibat serpihan letupan. Kami reda dan pasrah.

“Saya masih meneruskan peranan membantu penduduk yang sangat memerlukan dengan mengabaikan keperluan keluarga. Alhamdulillah, puluhan juta ringgit dapat kita kumpulkan untuk ummah lemah yang dizalimi,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai memikirkan seketika nasib dialami rakyat Palestin ketika ini yang kehilangan segala-galanya ekoran pengeboman tentera Israel.

“Anak-anak yang perlu kembali ke sekolah dan universiti tatkala perang tamat, isteri yang masih dengan pengajian PhD. Rumah yang perlu diisi semula setelah dikosongkan, pakaian dan keperluan harian, wang yang disimpan untuk anak-anak berkahwin dan membina semula masa depan. Semuanya musnah sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, dalam tempoh tiga minggu Ramadan ini, sebanyak RM1.3 juta berjaya dikumpulkan sekali gus mencapai sasaran, menjadikan keseluruhan kira-kira RM7 juta sumbangan untuk Gaza.

“Semuanya berkat sokongan dan sumbangan kalian. Selesai tak bermaksud habis, tetapi sekurang-kurangnya ada hak lain yang boleh saya letakkan sekejap di hadapan, hak keluarga khususnya. Hak yang telah diabaikan sejak awal perang meletus,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI