fbpx

Rumah Bonda gagal cabar JKM tutup premis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumah Bonda yang disita pada 12 Julai 2021

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda (Rumah Bonda) gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mencabar tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan menutup premisnya.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas menolak permohonan semakan kehakiman Rumah Bonda apabila mendapati keputusan responden pertama (pengarah JKM Wilayah Persekutuan) untuk menutup premis itu dibuat dengan betul di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

Dalam penghakimannya, Hakim itu berkata, tindakan yang diambil oleh JKM Wilayah Persekutuan mengenai Lak (penutupan) tiada kena-mengena dengan kejadian dera remaja sindrom down, Bella.

Sebaliknya, tindakan tersebut diambil kerana rumah kebajikan itu tidak berdaftar mengikut Akta Pusat Jagaan 1993.

“Perlu dinyatakan bahawa pemohon (Rumah Bonda) sedang dalam proses untuk mendaftar sebagai pusat jagaan tetapi ia tidak bermakna Rumah Bonda dibenarkan untuk memulakan operasi.

“Mahkamah mendapati pemohon mempunyai pengetahuan bahawa Rumah Bonda tidak dibenarkan untuk beroperasi sebelum pendaftaran selesai. Mahkamah turut mendapati, responden pertama (JKM) mempunyai alasan yang munasabah untuk mengenakan Lak tersebut berdasarkan siasatan yang dibuat,” katanya berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Rumah Bonda menerusi pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali pada 13 Ogos 2021.

Dalam semakan kehakiman itu, Pengarah JKM Wilayah Persekutuan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat masing-masing sebagai responden pertama dan kedua dalam semakan kehakiman itu.

Pada prosiding hari ini, Rumah Bonda diwakili peguam, Asiah Abd. Jalil manakala kedua-dua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nur Idayu Amir.

Pada 15 November 2021, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Rumah Bonda untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap tindakan Lak atau sita premis berkenaan di Taman Setapak, susulan dakwaan penderaan remaja sindrom down dikenali sebagai Bella.

Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 25 Julai 2023 memerintahkan semakan kehakiman pertubuhan kebajikan itu dikembalikan untuk didengar di Mahkamah Tinggi, selepas berpuas hati terdapat merit dalam rayuan Rumah Bonda.

Dalam permohonan itu, Siti Bainun mendakwa Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan JKM pada 9 Julai 2021 terhadap pemohon dan pelaksanaan tindakan itu pada 12 Julai tahun sama adalah dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan berlaku penderaan terhadap Bella yang tular pada 5 Julai 2021.

Siti Bainun antara lain mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat yang menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas dalam kes itu sedangkan remaja tersebut tiada kaitan dan bukan penghuni Rumah Bonda.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI