Assalamualaikum, selalu orang-orang tua mengatakan malam tujuh likur kita kena pasang pelita, bagi makanan kepada saudara-mara dan jiran-jiran. Ia sebagai simbol hendak sambut malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Bahkan, terdapat masyarakat kita mula memasang pelita pada malam terakhir Ramadan atau malam raya. Ada beberapa kepercayaan seperti memudahkan malaikat nampak jalan ke rumah atau memudahkan roh si mati pulang ke rumah. Apakah hukum kita mengamalkan kepercayaan malam tujuh likur ini?
Jawapan: Mengamalkan malam tujuh likur dengan cara memasang pelita untuk kemeriahan, memberi makan kepada jiran tetangga adalah diharuskan menurut Islam.
Namun, ia dilarang dan diharamkan apabila amalan tersebut dilakukan berasaskan iktikad tertentu atau kepercayaan ghaib. Misalnya, memasang pelita untuk memudahkan malaikat masuk ke dalam rumah atau menyambut roh orang telah mati.
Malam tujuh likur merupakan adat kepercayaan masyarakat Melayu pada 10 malam terakhir Ramadan dan lebih spesifiknya ketika malam ke-27.
Pada malam tujuh likur ini, masyarakat Melayu secara tradisinya memeriahkan persiapan raya dengan menyalakan pelita di sepanjang jalan perumahan, menyerikan kemeriahan dengan aktiviti sesama jiran seperti mengacau dodol, membuat wajik, bermain bunga api dan mercun.
Ada juga mengatakan bahawa pemasangan pelita memudahkan orang setempat untuk pulang ke rumah masing-masing setelah beribadah.
Ini kerana, ramai yang pulang lewat dari masjid pada 10 malam terakhir Ramadan untuk meluangkan lebih banyak masa beribadat di rumah Allah.
Malam tujuh likur juga biasanya mula dihidupkan secara meriah menjelang tanggal 27 Ramadan.
Ini kerana, banyaknya dalil menunjukkan bahawa Lailatul Qadar jatuh pada malam tersebut. Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar RA: “Sesiapa yang mencarinya (Lailatul Qadar), maka carilah ia pada malam ke-27”, dan Nabi SAW berkata lagi: “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam ke-27”. (Riwayat Ahmad, 4808)
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ubai bin Kaab, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya ia (Lailatul Qadar) pada bulan Ramadan, dan demi Allah aku tahu pada bilakah malam itu akan muncul. Ia adalah malam di mana
Rasulullah SAW mengingatkan kita agar membangunkannya (dengan ibadah), ia adalah malam yang mendatangi siang ke-27 dalam bulan Ramadan, dan tandanya adalah matahari terbit keputih-putihan pada waktu pagi tersebut tanpa sinaran cahaya.” (Riwayat Muslim, 672)
Manakala, dalam satu lagi hadis yang diriwayatkan oleh Zirr bin Hubaish ketika perbualan bersama Ubai bin Kaab, ada disebutkan berkenaan tanda-tanda Lailatul Qadar pada 27 Ramadan:
“Demi Allah sesungguhnya ia (Lailatul Qadar) pada malam Ramadan yang ke-27 tanpa tertinggal sekalipun. Aku berkata: “Bagaimanakah engkau tahu mengenainya wahai Abu Munzir?”
Dia berkata: “Dengan tanda-tanda yang telah dikhabarkan oleh Rasul SAW”. Aku bertanya kepada Zirr: “Apakah tanda-tandanya?”
Dia membalas, matahari terbit pada keesokan paginya seperti bekas bejana yang tidak bersinar sehinggalah ia (matahari) tegak memancar.” (Riwayat Abu Daud, 1378)
Memasang pelita menjadi amalan tradisi masyarakat Melayu sejak berzaman apabila menjelang 10 Ramadan terakhir atau malam tujuh likur. Namun, tidak dinafikan ada terdapat segelintir kepercayaan berkaitan tujuan pelita dipasang agar malaikat nampak jalan ke rumah atau memudahkan roh si mati pulang ke rumah. Bagaimanapun, semua kisah dan kepercayaan karut ini adalah rekaan serta tiada asas dalil.
Justeru, masyarakat yang ingin memasang pelita mestilah menetapkan tujuan pelita dipasang.
Kesimpulannya, amalan malam tujuh likur seperti menghidupkan dan meningkatkan amal ibadah, memasang pelita dan bergotong-royong sesama jiran adalah dibolehkan selagi ia diadakan dalam kerangka memeriahkan 10 malam terakhir atau menyambut raya.