fbpx

50 peserta ladang sejahtera KEDA terima ‘duit raya’ RM22,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismasuhaimi bergambar di samping penerima dividen projek Ladang Sejahtera pada Majlis Iftar bersama Pengamal Media Kedah dan Penyerahan Sumbangan Dividen Projek Ladang Sejahtera di Menara Alor Setar, malam tadi.

ALOR SETAR – Sebanyak 50 keluarga yang terlibat dengan program Lonjakan Mega Luar Bandar melalui projek Ladang Sejahtera di Sik menerima dividen masing-masing dengan jumlah keseluruhan RM22,500.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Ismasuhaimi Shariff berkata, sumbangan tersebut diharapkan dapat memanfaatkan penduduk terlibat sempena dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Ini adalah salah satu program di mana peserta dapat dividen secara tahunan yang memberi manfaat kepada 50 isi keluarga di Sik. Projek ini melibatkan satu ladang getah yang diusahakan seluas 100 hektar dan hasil ladang ini kita masukkan dalam satu tabung.

“Kemudian kita berikan kepada penduduk B40 di Sik yang menetap di sekitar ladang tersebut, jadi saya berharap pemberian ini dapat tampung perbelanjaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar bersama Pengamal Media Kedah dan Penyerahan Sumbangan Dividen Projek Ladang Sejahtera di Menara Alor Setar di sini malam tadi.

Ismasuhaimi menambah, projek tersebut merupakan salah satu bantuan yang diberikan kepada KEDA oleh Kerajaan Persekutuan dalam usaha membantu meringankan beban penduduk di luar bandar.

“Ini merupakan bantuan khusus kepada masyarakat luar bandar melalui program ekonomi KEDA. Kita sudah membelanjakan sebanyak RM5.48 juta dalam aspek bantuan ekonomi golongan sasaran membabitkan 482 penerima bantuan.

“Ia juga melibatkan 11 projek berkaitan dan untuk keseluruhan di Kedah dianggarkan sebanyak RM12.2 juta diagihkan kepada 651 penerima. Itu satu jumlah tambahan sebanyak 124 peratus berbanding daripada 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI