fbpx
Salah sebuah bot yang digunakan sindiket penyeludupan untuk mengangkut pulang PATI ke Indonesia sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri

10,000 PATI Indonesia balik raya guna ‘lorong tikus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu hadapan, kira-kira 10,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dijangka keluar melalui lebih 20 laluan tikus di negeri ini untuk pulang beraya ke kampung halaman masing-masing.

Kumpulan PATI itu sanggup mengeluarkan belanja RM1,500 hingga RM3,000 seorang bagi perjalanan sehala pulang ke Indonesia yang diuruskan sindiket penyeludupan migran.

Malah, warga PATI itu juga sanggup menggadai nyawa ‘mati katak’ sekiranya berlaku kejadian tidak diingini sepanjang perjalanan asalkan dapat menyambut 1 Syawal bersama keluarga ter­sayang.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, kebanyakan PATI yang menggunakan khidmat sindiket adalah mereka yang tidak memiliki dokumen, tinggal lebih masa dan pasport tamat tempoh.

“Kita menjangkakan lebih 10,000 PATI yang menggunakan khidmat sindiket penyeludupan migran biarpun terpaksa membayar sebanyak RM1,500 hingga RM3,000 seorang.

“Mereka (PATI) takut untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa kerana bimbang ditangkap dan perlu melalui proses perundangan termasuk ditahan di Depoh Tahanan Imigresen dalam tempoh tertentu sebelumv dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Jadi golongan ini memilih untuk menggunakan khidmat sindiket. Memang kami akui perkara ini berlaku pada setiap tahun apabila tiba musim pe­rayaan pergerakan keluar masuk PATI pasti akan meningkat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Menurut Baharuddin, terdapat lebih 20 laluan tikus dikenal pasti digunakan oleh sindiket sebagai lokasi pendaratan PATI dari perairan Mersing hingga ke Kota Tinggi.

Selain itu, antara laluan lain yang digunakan adalah perairan Muar, Batu Pahat, Pontian dan hingga ke Johor Bahru.

Jelas beliau, keadaan pantai yang cetek dan landai menjadi pilihan tekong untuk mengambil atau mendaratkan PATI di lokasi berkenaan.

“Biasanya sindiket akan menggunakan bot pancung yang boleh memuatkan 20 hingga 30 penumpang dalam satu-satu masa.

“Mereka (tekong) tidak akan merapati kawasan pantai atau jeti, sebaliknya menurunkan atau mengambil PATI di kawasan te­ngah sedikit.

“Ini adalah taktik mereka supaya mudah meloloskan diri sekiranya terserempak dengan pihak berkuasa,” kata beliau.

Tambah Baharuddin, bagi lokasi transit untuk menempatkan PATI sebelum dibawa naik bot, lokasi tersebut dilihat kerap berubah dan bertukar-tukar bagi mengelak aktiviti haram tersebut dihidu pihak berkuasa.

“Jadi pada musim perayaan ini kita akan meningkatkan operasi di lokasi-lokasi sasaran.

“Kita (JIM) akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi pe­nguatkuaaan lain seperti Ma­ritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin dan Angkatan Tentera Malaysia dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan migran,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN