SAUDARA PENGARANG,
Berbaki beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, banyak perkara yang perlu kita lakukan termasuk merancang untuk balik ke kampung.
Seiring dengan keterujaan balik kampung, ada pesanan yang ingin ditujukan khas buat perantau yang akan menggunakan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) supaya tidak membuang sampah merata-rata terutamanya di kawasan sekitar Merapoh dan Padang Tengku.
Sebagai penduduk berdekatan laluan itu, saya tidak mahu lagi kawasan berkenaan dikotori dengan sisa sampah daripada pengguna.
Ini kerana, sebelum ini setiap kali musim perayaan atau cuti sekolah, pasti ada ‘tangan gatal’ yang akan membuang sampah sesuka hati di kawasan berkenaan.
Sakit mata dan hati melihat kekotoran yang dibuat oleh pengguna jalan raya ini. Di manakah akal mereka, tidak terfikirkah mereka bagaimana perasaan bila orang lain mengotorkan kawasan anda. Mesti berang kan?
Begitulah perasaan kami sebagai penduduk berdekatan laluan ini apabila ‘orang luar’ dengan sesuka hati mengotorkan tempat kami. Tidakkah terdetik dihati mereka untuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya.
Sekiranya tiada kemudahan tong sampah disediakan, simpanlah atau sediakan plastik sampah dalam kereta.
Bila ada tong sampah buanglah nanti. Budaya pembersih ini perlu diamalkan oleh semua pihak termasuk pengguna jalan raya.
Janganlah jadi bangsa yang pengotor, sebaliknya jadilah bangsa pembersih tidak kira di mana berada.
Perlu diingat, jalan raya adalah untuk dikongsi bersama, jadi sama-samalah kita hargai kemudahan yang disediakan dan hormatilah penduduk sekitar terutama ketika semua bergembira untuk pulang berhari raya.
ANTI SAMPAH
Padang Tengku, Lipis Pahang















