KUALA TERENGGANU – Golongan pengemis terutama dalam kalangan warga asing mula memenuhi bandar raya ini semata-mata untuk meraih simpati daripada orang ramai pada bulan Ramadan.
Kumpulan tersebut dilihat memenuhi kawasan tumpuan ramai di bandar raya ini seperti bazar Ramadan serta kaki lima premis perniagaan selain di hadapan pintu bank.
Tinjauan Kosmo! mendapati sekurang-kurangnya dua pengemis berada di setiap bazar di bandar raya ini dan mereka biasanya beroperasi di lokasi strategik untuk ‘memancing’ simpati pengunjung.
Salah seorang pengunjung, Siti Salmah Md. Salleh, 38, mengakui agak rimas dengan lambakan pengemis yang muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan pada bulan Ramadan ini.
“Bukan tidak simpati tetapi naluri saya rasa sebahagian mereka seperti mahu mengambil kesempatan dengan kemurahan hati umat Islam untuk bersedekah pada bulan Ramadan ini.
“Tambah mencurigakan apabila sebahagian mereka merupakan warga asing seperti Rohingya dan dikhuatiri duit sedekah yang diterima kumpulan ini digunakan untuk membeli barang larangan seperti dadah,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Kuala Ibai baru-baru ini.
Seorang lagi pengunjung, Noradilah Abdul Yassin, 29, berkata, dia menjadi serba-salah untuk menghulurkan sedekah kepada pengemis terbabit.
“Orang kata amalan bersedekah digalakkan pada bulan Ramadan, kalau mereka (pengemis) menipu, itu antara dia dan Allah.
“Begitupun, saya was-was hingga timbul rasa tidak ikhlas. Harap pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ambil tindakan bagi menangani lambakan pengemis pada bulan Ramadan ini,” katanya.
Noradilah berkata, sekiranya pengemis terlibat benar-benar dalam kesusahan, mereka boleh terus dibantu oleh JKM.
















