fbpx

Sultan Nazrin berangkat ke sambutan Nuzul al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin (dua dari kiri) berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri MAIPk kepada penghulu mukim dari 12 daerah ketika Sambutan Nuzul al-Quran peringkat negeri dan majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh hari ini. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat ke Sambutan Nuzul al-Quran peringkat negeri dan majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan tadabbur diikuti majlis tahlil serta doa selamat.

Selepas berbuka puasa bersama lebih 1,000 tetamu dan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPk bernilai RM11.8 juta kepada penghulu mukim bagi 12 daerah.

Dana zakat itu untuk diagihkan kepada 39,241 penerima bantuan Hari Raya Aidilfitri terdiri dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri.

Penerima bantuan tersebut dipilih daripada cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri ini.

Selain itu, semua penerima bantuan kewangan bulanan dan hemodialisis dalam kalangan asnaf turut menerima bantuan sama di bawah dana zakat MAIPk.

Daerah yang menerima zakat tersebut ialah Kinta, Larut, Matang dan Selama, Perak Tengah, Kerian, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk, Muallim, Batang Padang dan Kampar.

Majlis kemudian diakhiri dengan solat Isyak dan solat tarawih secara berjemaah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI