fbpx

Padah letak syarat ‘merapu’ punca jatuh taklik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – “Kalau awak (isteri) mesej dengan mana-mana lelaki di belakang saya (suami), jatuh talak tiga.”

Demikian lafaz taklik yang dibuat seorang lelaki terhadap isteri dengan alasan mahu memastikan wanita itu tidak berlaku curang.

Menerusi perkongsian Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli di Facebooknya baru-baru ini, beliau berkata, ramai pasangan yang sering terlanjur dalam berkata-kata dengan menetapkan pelbagai syarat ‘merapu’ dan akhirnya memusnahkan hubungan perkahwinan mereka.

“Ada satu kisah yang dikongsikan oleh seorang lelaki yang sangat menyesal dalam hidupnya. Kisah ini harap menjadi iktibar kepada orang lain juga.

“Kisahnya, pasangan ini baru sahaja bernikah dalam tahun 2020. Pengantin PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pula. Bayangkan, nak atur pernikahan bukan main susah. Alih-alih, perceraian mudah berlaku.

“Puncanya adalah si suami ni sangat ‘insecure’ atau sentiasa rasa tak selamat. Maklumlah, isterinya lawa, sebelum kahwin pun memang ramai yang mengorat dan lepas kahwin pun, ada yang cuba mengorat,” katanya.

Menurut Fahmi, isteri lelaki tersebut merupakan seorang wanita berkerjaya dan sememangnya sentiasa berdepan dengan pelbagai manusia atas urusan kerja.

“Si suami mungkin rasa nak selamat, dia pun tanpa fikir panjang, terus lafaz taklik talak. Selepas fikir balik, baru dia rasa macam tak patut buat, dan dia minta maaf pada isteri dan ‘tarik balik’ lafaznya itu.

“Lepas sebulan berlalu, si isteri dapat mesej daripada majikannya seorang lelaki, mintak dia untuk lakukan tugasan kerja. Kemudian, si isteri pun balas semula mesej tersebut.

“Tiba-tiba, dia teringat akan ayat taklik suaminya. Dia pun resah dan rasa tak sedap hati, boleh ke ditarik balik taklik sebegitu? Kemudian dia rujuk kepada pejabat agama, dan mereka mintak si isteri buat pengesahan cerai di mahkamah,” katanya.

Dipendekkan cerita, Fahmi berkata, pasangan tersebut telah disabitkan penceraian talak tiga disebabkan lafaz taklik suaminya itu adalah sah.

“Biru muka dua-dua suami isteri ini, mengenangkan tempoh perkahwinan yang tak lama, dan hanya kerana mulut dan hati, perkahwinan tersebut terlerai selamanya.

“Jika sekiranya telah berlaku taklik talak, ia belum ada apa-apa kesan melainkan jika berlaku pelanggaran ke atas taklik tersebut. Andai berlaku perkara sedemikian, wajib untuk suami, isteri membuat pengesahan lafaz cerai di mahkamah syariah.

Katanya, berdasarkan pandangan majoriti Fuqaha’, taklik talak tidak boleh ditarik semula kerana ia merupakan sebahagian daripada konsep talak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI