PUTRAJAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendedahkan terdapat lebih 3,000 kes individu yang tidak berdaftar sebagai penjaga sah kepada kanak-kanak yang dipelihara mereka dalam tempoh setahun.
Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak-kanak JKM, Dr. Sopian Brahim berkata, kes itu diterima melalui aduan dan penelitian yang dijalankan pihaknya, namun beliau yakin jumlah tersebut adalah lebih tinggi kerana banyak kes yang ‘disorok’
Menurutnya, meskipun penjaga itu merupakan saudara-mara yang secara rela mahu menjaga anak saudara atau cucu, namun mereka tetap wajib mendaftar dengan jabatannya dalam tempoh dua minggu pengambilan.
Jelas beliau, anak pelihara selalunya melibatkan golongan kanak-kanak yatim piatu, tidak sah taraf, dibuang keluarga atau yang diserahkan oleh ibu bapa kandung sendiri atas faktor kesusahan hidup.
“Tak kiralah datuk sendiri yang nak jaga cucu atau saudara yang rela nak jaga anak-anak ini, mereka perlu tampil di mana-mana cawangan JKM untuk buat pengesahan bahawa mereka akan menjaga anak-anak itu.
“Ia perlu dibuat dalam tempoh dua minggu dan jika gagal mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya mengikut Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau berkata, JKM amat tegas berhubung perkara tersebut kerana tidak mahu timbul masalah lain terutama melibatkan isu-isu penderaan, pengabaian serta sindiket pemerdagangan manusia sekiranya penjagaan itu tidak didaftarkan.
“Apabila tak daftar banyak yang kita risau, kadangkala boleh jadi juga mungkin di luar pengetahuan pihak-pihak berwajib ini ada isu sindiket, penipuan dan pemalsuan dokumen, itu yang biasa kita terima dan sebab itu JKM perlu semak dari peringkat awal.
“Setelah berdaftar, maknanya jika ada sebarang hal atau bantuan kepada anak-anak itu, kita boleh rujuk dengan penjaga sah mereka,” ujarnya.














