Saya yakin ketika ini semakin ramai orang menyerbu bazar Aidilfitri untuk membeli keperluan hari raya.
Apa yang dicari mestilah baju Melayu dan baju kurung untuk digayakan pada pagi raya. Bagaimanapun, ketika ini ramai dalam kalangan anak muda lelaki lebih gemar mengenakan kurta.
Walaupun ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam, namun ia seperti menghakis jati diri Melayu secara perlahan-lahan.
Kurta sebenarnya mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan hanya sesuai dengan masyarakat asalnya sahaja.
Pada saya, baju Melayu mempunyai maksudnya tersendiri dan tukang jahit atau pereka tidak sepatutnya meninggalkan tradisi itu walaupun ingin memberikan nafas baharu kepada rekaan masing-masing.
Kekalkan ciri-ciri baju Melayu yang asal kerana ia mempunyai maksud. Contohnya satu butang pada baju Melayu teluk belanga bermaksud tauhid Tuhan Yang Esa, manakala cekak musang yang mempunyai lima butang melambangkan rukun Islam dan tiga kocek merujuk kepada iman, Islam dan ihsan.
Tindakan mengurang atau menambah secara semberono akan menghilangkan mesej tersirat yang terkandung dalam busana Melayu yang menjadi satu teras jati diri. Jaga tradisi yang diwarisi.
Prof. Dr. Azman Che Mat
UiTM Kampus Dungun














