SHAH ALAM – Barangan kemas termasuk dinar dan bar emas secara konvensionalnya dibeli secara runcit di pasaran terbuka.
Agak berisiko sekiranya pembelian tersebut dibuat secara online apatah lagi jika ia melibatkan nilai ribuan ringgit.
Tetapi trend semasa dengan perubahan gaya hidup telah mengubah kebimbangan tersebut, malah platform TikTok adalah salah satu kegemaran ramai usahawan untuk mempromosikan produk jualan masing-masing.
Salah sebuah syarikat yang begitu aktif mengguna pakai platform popular itu adalah Grand Bullion Gold Sdn. Bhd. (GB Gold Malaysia) yang telah memulakan perniagaan pada suku ketiga tahun lalu.
Syarikat tersebut lebih memfokuskan kepada jualan dinar dan bar emas 999.9 selain meningkatkan pengetahuan pelanggan tentang industri tersebut.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahfizzam Moideen berkata, lebih daripada 80 peratus jualannya tertumpu kepada pasaran TikTok dan bakinya adalah melalui sistem jualan dan transaksi dalam Gold Billion Storage (GBS) yang dibangunkan oleh syarikatnya.
“Jika dulu, emas hanya dibeli oleh golongan tertentu tetapi melalui TikTok, kami dapat menembusi kumpulan pelanggan daripada golongan muda dan remaja sehingga peringkat atasan kerana mereka berfikiran terbuka untuk mengetahui lebih lanjut tentang simpanan emas sebagai dana utama untuk menabung dan bersara.
“Berbanding ringgit yang dipegang, ia berkait dengan inflasi tetapi emas tidak terjejas dengan inflasi, malah harganya terus meningkat,” katanya ditemui di pejabat syarikat di sini baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi GB Gold, Mohd. Afiq Ahmad.
Shahfizzam menerangkan, nilai emas yang terus meningkat lebih 70 peratus sejak sebelum ini menunjukkan permintaannya terus bertambah meskipun masyarakat berdepan dengan persekitaran ekonomi yang sukar kini.

“Kesedaran yang terus meningkat membolehkan pelanggan kami berkeyakinan untuk membeli dinar dan bar emas. Ini dapat dilihat kerana ada pelanggan yang yang sanggup membeli sehingga RM7,000 dalam online.
“Trafik pelanggan di TikTok begitu tinggi, jadi kami mudah untuk mempromosikan dinar dan bar emas selain meningkatkan pengetahuan mereka tentang barangan berharga ini. Daripada 10 orang yang menonton, tujuh daripada mereka akan membelinya. Kami tidak mahu mengaut untung semata-mata tetapi mahu memberi ilmu kepada mereka.
“Mereka suka membeli secara online kerana terdapat pelbagai tawaran serta gimik menarik yang pastinya memberi manfaat dari segi penjimatan kepada pelanggan,” jelas beliau.
Usahawan yang berpengalaman lebih lima tahun dalam bidang tersebut mendapati minat orang ramai terus membeli kerana ada yang membeli dinar emas pada harga serendah RM67 di platform berkenaan.
Selain itu, beliau menjelaskan, keunikan syarikat juga terletak pada sistem yang dibangunkan iaitu GBS yang menyediakan perkhidmatan transaksi jualan dan belian serta info menarik tentang produk selain perkhidmatan kepada umum.
Ujarnya, bagi melaksanakan segala perkhidmatan tersebut, orang ramai dialu-alukan menjadi ahli secara percuma dan sehingga kini syarikat telah memiliki lebih daripada 1,000 ahli pada masa sekarang.

“Kami menyasarkan peningkatan ahli mencecah kepada 10,000 orang tahun ini ekoran sistem membeli dinar emas dan emas bar dengan mudah secara online dengan nilai pelaburan serendah RM10 sahaja.
“Kalau kita simpan RM10 sehari, jadi kita akan dapat kumpul RM300, dengan tambahan tunai sedikit lagi, kita akan dapat memiliki satu gram emas.
“Kalau kita suruh pelanggan membeli emas sekali gus pada harga lebih daripada RM300 pastinya ia satu nilai yang tinggi untuk dibayar tetapi bila kita menyimpan RM10 sehari, maka nilai tersebut tidaklah mahal. Tidak semestinya mereka beli RM10 sehari tapi boleh membeli berkali-kali dalam sehari,” terangnya.
Shahfizzam yang sebelum ini lebih cenderung menjadi perunding pelbagai perniagaan begitu optimis terhadap cabang menjual dinar dan bar emas.
“Saya suka jual emas kerana saya suka berjumpa dengan ramai orang bukan sahaja daripada golongan atasan tetapi juga termasuk golongan B40 yang suka membeli emas untuk menyimpan.
“Sebenarnya saya suka tengok emas, tengok pada kilauan warnanya yang memukau hati. Saya juga suka tengok reaksi pelanggan ketika mereka melihat emas dan kilauannya juga,” terang beliau.
Usahawan ini berkata, bagi menarik minat pelanggan untuk menyimpan dinar dan bar emas, syarikat telah membangunkan secara kreatif dinar dan kepingan emas itu di dalam satu kad yang cantik.
Ia juga dikeluarkan mengikut tema hari perayaan, sambutan ulang tahun, hadiah hari jadi atau hari ibu, cenderahati kepada pengantin dan juga untuk simpanan sendiri.
“Kami menyasarkan jualan pada tahun ini mencecah kepada RM100 juta dan ini adalah nilai yang kecil berbanding keseluruhan nilai industri di negara ini yang mencecah RM5 bilion,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















