fbpx
Pasangan yang ditangkap khalwat boleh dikenakan hukuman denda ataupun penjara. – GAMBAR HIASAN

Pasangan khalwat boleh dipenjara, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pasangan yang ditangkap khalwat boleh dihukum penjara sekiranya elemen pendakwaan cukup untuk mahkamah mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

Peguam Syarie, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, terdapat beberapa elemen kesalahan jenayah syariah yang perlu dipenuhi oleh Pendakwa Syarie terhadap orang kena tuduh (OKT) berdasarkan peruntukan Bahagian IV Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Menurutnya, peruntukan Seksyen 27 meletakkan khalwat sebagai salah satu kesalahan jenayah syariah yang boleh didakwa di Mahkamah Syariah.

“Peruntukan seksyen tersebut antaranya adalah lelaki atau pe­rempuan didapati berada bersama dengan seorang perempuan atau lebih yang bukan isteri (atau suami) atau mahramnya.

“Ini juga termasuklah berada di mana-mana tempat berselin­dung termasuk di dalam rumah atau bilik dan wujud keadaan mendatangkan syak bahawa mereka (OKT) sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau memberitahu, pasa­ngan tersebut boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika disabit salah.

“Dalam konteks pasangan khalwat yang dituduh di mahkamah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sekiranya elemen pembuktian berjaya dibuktikan Pendakwa Syarie dan tiada sebarang kemungkinan boleh me­nimbulkan keraguan munasabah, termasuk pematuhan kepada Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 560.

“Jika merujuk trend kes yang dilaporkan yang disabitkan oleh mahkamah terhadap pesalah khalwat, majoriti pesalah dijatuhkan hukuman pemenjaraan memandangkan bentuk kesalahan khalwat merupakan kesalahan jenayah syariah.

“Ini bagi mengelakkan masyarakat daripada melakukan kegiatan tidak bermoral tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai pengakhiran kes yang dihadapi pasangan berkhalwat, beliau memberitahu, ia bergantung kepada mereka sama ada ingin melangsungkan pernikahan atau sebaliknya.

“Sesetengah kes mereka bernikah atas alasan untuk menutup aib, malah ada yang berharap agar kes pertuduhan jenayah syariahnya di mahkamah dapat digugurkan dengan bernikah.

“Bagaimanapun, ada yang bernikah dengan orang lain selain berbagai alasan lain yang pasangan-pasangan tersebut kemukakan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN