KETIKA menyambung pengajian di universiti, Alif (bukan nama sebenar) tidak pernah menyangka bahawa dia akan merasai perasaan jatuh cinta.
Semuanya bermula menerusi perkenalan dengan rakan sekelas yang dikenali sebagai Fatima (bukan nama sebenar).
Awalnya, mereka berkenalan semasa sesi pendaftaran dan semakin rapat selepas berada dalam jurusan serta kelas yang sama.
Menurut Alif, dia awalnya selesa berkawan dengan Fatima, malah mereka sering melakukan tugasan dalam kumpulan sama.
“Kami memang rapat dari semester satu dan semakin lama saya mula rasa jatuh hati pada dia. Namun, perasaan itu hanya mampu saya pendam kerana Fatima sudah mempunyai teman lelaki.
“Mereka sudah menjalin hubungan sejak sekolah menengah,” katanya ketika ditemu bual Panorama menerusi panggilan telefon.
Tambahnya, dia mengakui mempunyai rasa cemburu dengan hubungan Fatima dan teman lelakinya.
Bagaimanapun, perasaan itu terpaksa dipendam kerana mahu menjaga persahabatan mereka. Melewati beberapa semester, perasaan cemburu itu semakin membuak-buak.
Tambahan pula, Alif merupakan orang yang paling rapat dengan Fatima.
Fatima sering mengadu masalah cinta dengan teman lelakinya kepada Alif.
Alif pula sentiasa ada saat Fatima sedih apabila bergaduh dengan teman lelakinya.
Namun, Fatima hanya menganggap Alif sebagai kawan dan tidak lebih daripada itu, sekali gus membuatkan dia terasa seperti tidak dihargai.
“Kalau bergaduh, dia (Fatima) akan cari saya untuk mengadu, situasi ini seolah-olah saya seperti rumah singgah.
“Jika mereka berbaik, Fatima akan anggap saya seperti kawan biasa dan perhatian yang saya berikan sebelum ini tidak pernah dihargai,” ujarnya.
Rasa tidak dihargai itu membuatkan Alif mahu melakukan sesuatu untuk mendapatkan Fatima. Dia cuba melakukan sesuatu untuk membuatkan hubungan gadis itu bersama teman lelakinya putus.
Alif memberitahu, dia pernah cuba beberapa cara termasuk menghasut Fatima supaya memutuskan hubungan dengan teman lelakinya ketika mereka bergaduh.
Namun, ia tidak berhasil kerana Fatima sering termakan pujukan teman lelakinya setiap kali selepas bergaduh.

Oleh kerana sukar meyakinkan Fatima supaya mengakhiri hubungannya, Alif mengambil langkah untuk berkenalan dengan teman lelaki Fatima.
Mereka berkenalan menerusi laman sosial sebelum menjadi kawan dan sering meluangkan masa bersama.
“Kami jadi rapat kerana mempunyai minat sama dalam sukan badminton. Saya sering mengajak teman lelaki Fatima bermain bersama kerana dia tinggal dekat dengan kampus.
“Saya berkawan dengan dia tanpa pengetahuan Fatima. Selepas kami rapat, bermulalah rancangan saya untuk memutuskan hubungan mereka,” kongsinya.
Cerita Alif lagi, dia memperkenalkan teman lelaki Fatima dengan kawan badmintonnya termasuk perempuan.
Setiap kali bermain bersama, Alif sengaja mengajak dia bermain dalam beregu dan memasangkan teman lelaki Fatima dengan pemain perempuan.
Pada masa itulah, dia mengambil peluang untuk merakam gambar yang memperlihatkan teman lelaki Fatima seperti berlaku curang.
Terutamanya, ketika pasangan beregunya (perempuan) cedera atau terjatuh sewaktu bermain.
Dengan gambar itu, Alif secara rahsia menghantarnya kepada Fatima, sekali gus membuatkan mereka bergaduh besar.
Hal itu dilakukan Alif berulang kali supaya Fatima dan teman lelakinya kerap bergaduh.
“Situasi itu saya manfaatkan dengan meyakinkan Fatima supaya memutuskan hubungan mereka.
“Kali ini rancangan saya berjaya dan mereka benar-benar putus. Saya gembira hal itu berlaku,” jelasnya.
Selepas Fatima putus dengan teman lelakinya, Alif cuba meluahkan perasaannya kepada Fatima.
Namun, apa yang mengejutkan, Fatima menolak cintanya kerana dia tahu apa yang Alif lakukan selama ini.
Fatima sudah tahu bahawa Alif berkenalan dengan teman lelakinya dan merancang untuk memutuskan hubungan mereka.
“Fatima tahu kerana teman lelakinya ada menunjukkan foto saya kepadanya.
“Sejak itu, dia musykil dan mengikuti ‘permainan’ saya dalam diam. Selepas semuanya terbongkar saya tidak lagi rapat dengan Fatima kerana terlalu malu dan menyesal,” katanya.
Selepas tamat pengajian, Alif dan Fatima terus membawa haluan masing-masing. Kini, Alif juga sudah berkeluarga serta memiliki dua orang cahaya mata.














