fbpx

Mayat nelayan jatuh bot ditemui terdampar di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MERSING – Mayat lelaki yang terjatuh bot ketika menarik pukat di Pulau Pemanggil di sini pada 8 Mac lepas berjaya ditemui terdampar di pantai Pengudang di Pulau Bintan, Indonesia pada 15 Mac lalu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mayat berkenaan disahkan sebagai Muhamad Sufian Alwi, 32 yang ditemui 160 kilometer dari lokasi dia disyaki terjatuh.

Katanya, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat daripada Polis Republik Indonesia (POLRI) mengenai penemuan tersebut berdasarkan pakaian pada mayat tersebut.

“Susulan itu, pihak MRSC Johor Bahru telah membantu pengurusan bagi membawa ahli keluarga mangsa ke Pulau Bintan bagi proses pengecaman dan pengesahan mayat di Rumah Sakit Umum Daerah Raja Ahmad Tabib Provinsi Kepri-Tanjung Pinang.

“Kakak mangsa sudah membuat pengesahan pagi tadi bahawa mayat yang ditemui merupakan Muhamad Sufian yang dilaporkan hilang di laut sewaktu menarik pukat di perairan Pulau Pemanggil pada 8 Mac yang lalu. Mayat mangsa telah hanyut sejauh 86.3 batu nautika (160 km) daripada lokasi
mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihak MRSC Johor Bahru menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa dan merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Indonesia iaitu pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), POLRES Bintan, Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru dan semua pihak yang membantu melaksanakan Op Carilamat yang telah ditutup dengan penemuan mangsa.

Terdahulu, akhbar melaporkan seorang nelayan dikhuatiri hilang dipercayai terjatuh ke dalam laut di kedudukan lebih kurang 3.3 batu nautika barat laut Pulau Pemanggil kira-kira pukul 4.10 petang 8 Mac lalu.

Ketika kejadian mangsa bersama empat kru lain di bot tersebut dipercayai mangsa terjatuh selepas menarik pukat dimana secara tiba-tiba kru yang lain mendapati mangsa tiada. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI