fbpx

Tiga lelaki naiki Kancil lari pemeriksaan polis terbabas rempuh rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Perodua Kancil yang terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kampung Kedondong, Pasir Mas, Kelantan semalam. FOTO IHSAN POLIS

PASIR MAS – Sebuah kereta dinaiki tiga lelaki yang cuba lolos daripada diperiksa oleh pihak polis terbabas sebelum merempuh rumah penduduk di Kampung Kedondong, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam itu, ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 36 hingga 41 tahun yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil turut ditahan untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, sebelum kejadian berlaku, anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah melihat sebuah kereta berhenti di tepi jalan di kawasan Meranti di sini dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, menyedari kehadiran polis, pemandu bertindak memecut kereta tersebut ke dalam kawasan kampung.

“Bagaimanapun, kereta itu kemudiannya terbabas di tepi jalan sebelum merempuh sebuah rumah semasa melalui laluan selekoh di Kampung Kedondong.

“Salah seorang suspek cuba untuk melarikan diri, namun berjaya ditahan di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kama Azural memberitahu, ketiga-tiga lelaki itu ditahan selepas dipercayai menghalang pihak polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Meranti.

Menurutnya, semakan mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah dan kini direman empat hari bermula semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI