fbpx

Tidak berniat pesan stoking kalimah Allah – Syarikat pembekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar stoking yang dimuat naik Firdaus Wong menerusi Facebook beliau sebelum ini sehingga tular di media sosial.

PETALING JAYA – Pembekal stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart, syarikat Xin Jian Chang Sdn. Bhd. menjelaskan pihaknya tidak pernah berniat memesan bekalan produk tersebut sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Menerusi kenyataan hari ini, syarikat tersebut berkata semua pesanan dibuat berdasarkan sampel diberikan selain nasihat terhadap pembekal di China juga diberi secara konsisten.

Ujarnya, stoking yang bermasalah adalah sebahagian daripada penghantaran besar 18,800 pasang yang dipesan dari sebuah syarikat berpangkalan di Wilayah Zhejiang, China, Mu Mian Qing Hosiety Co. Ltd.

“Berbeza dengan laporan terdahulu, telah disahkan bahawa hanya ada lima pasang stoking yang memaparkan perkataan sensitif dan bukannya 14.

“Kami amat menyesali kecuaian dalam proses kawalan kualiti secara tidak sengaja menyebabkan item-item ini masuk ke dalam inventori kami.

“Kami dengan ikhlas mohon maaf atas sebarang kesalahan atau keresahan yang timbul. Kami tidak berniat untuk menghasilkan atau mengedarkan produk yang boleh menimbulkan perpecahan atau menyakiti perasaan sesiapa,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pembekal di China mengakui telah memasukkan stoking yang bermasalah ke dalam guni secara tidak sengaja.

“Kami kini sedang mencari penasihat undang-undang untuk menjalankan tindakan undang-undang terhadap pembekal atas kelalaian mereka dalam menangani pesanan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Xin Jian Chang juga berkata, pihaknya memberikan sepenuh kerjasama dengan pihak berkuasa ketika pemeriksaan dibuat di kilangnya terletak di Batu Pahat, Johor hari ini.

“Kami akan terus membantu dalam siasatan mereka dalam rangka sistem undang-undang negara kita.

“Pihak syarikat mengambil iktibar daripada kejadian ini dan sedang melaksanakan langkah-langkah kawalan kualiti yang lebih ketat untuk mengelakkan kejadian serupa di masa depan,” ujarnya.

Terdahulu, pada 14 Mac lalu tular di media sosial memaparkan stoking yang tertera kalimah Allah dijual di sebuah kedai serbaneka.

Susulan itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr. KK Chai melahirkan rasa kesal atas penjualan stoking tertera kalimah Allah di salah sebuah cawangannya selain tampil memohon maaf atas kejadian itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI