fbpx
DR. ABDULLAH (kanan) yang dikenali sebagai Dr. Cute dan Dr. Idzu memeterai Memorandum Perjanjian di sebuah hotel di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kolaborasi inovatif bakal definisikan semula standard kecantikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA bercakap tentang produk kecantikan tempatan, masih ramai yang skeptikal dan was-was dengan keselamatannya, memandangkan produk kecantikan sedemikan lazimnya mengandungi bahan kimia terlarang seperti merkuri.

Penggunaan produk kecantikan mengandungi merkuri bukan saja memberi kesan kepada kulit wajah, bahkan boleh menyebabkan masalah kesihatan kronik seperti kerosakan buah pinggang dan kegagalan sistem saraf.

Dalam usaha untuk terus mendidik orang awam tentang bahaya penggunaan produk kecantikan yang diragui tahap keselamatannya, doktor estetik yang juga pemilik syarikat Dr Cute International Sdn. Bhd., Dr. Abdullah Alias baru-baru ini mengumumkan kerjasama antara syarikatnya bersama anak syarikat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cell Tissue Technology Sdn. Bhd. dalam menghasilkan teknologi perubatan baharu bagi produk kecantikan berasaskan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan sel stem tisu.

Majlis memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) tersebut diadakan di sebuah hotel di Bangsar baru-baru ini. Cell Tissue Technology ialah firma kejuruteraan tisu pertama di Malaysia oleh UKM.

Dr. Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dr. Cute berkata, untuk permulaan, kerjasama itu adalah bagi menghasilkan produk kecantikan berupa alat tampalan atau patch tubuh, yang mampu mengawal berat badan melibatkan teknologi berkenaan. Ia merupakan produk pertama seumpamanya yang bakal diperkenalkan di negara ini.

Ujar Dr. Cute, dengan menggabung kecantikan dan penyelidikan inovatif dalam bidang perubatan, dia berhasrat untuk mendefinisikan semula standard kecantikan di negara ini.

“Kolaborasi ini bukan sahaja melambangkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk menambah baik tahap kecantikan seseorang, tetapi juga untuk merintis kemajuan dalam dunia kecantikan, dan dalam masa yang sama turut mengutamakan keselamatan pengguna produk,” katanya.

Jelas Dr. Cute, dia berharap agar kepakaran Cell Tissue Technology dalam teknologi terapi tisu itu nanti mampu meningkatkan lagi kualiti produk kecantikan keluaran tempatan dan boleh memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna.

“Sebelum ini apabila disebut produk kecantikan tempatan, ia sinonim dengan merkuri.

“Sasaran kami adalah untuk menghasilkan formulasi produk yang bukan sahaja selamat untuk digunakan, tetapi juga berkesan.

“Ini merupakan salah satu usaha kami untuk membuang tanggapan negatif orang awam terhadap produk kecantikan tempatan yang kononnya tidak setanding dengan produk luar.

“Menerusi inisiatif penyelidikan ini, kami mahu menghasilkan produk kecantikan buatan tempatan yang bukan saja berpatutan, malah selamat dan bebas daripada bahan-bahan terlarang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Cell Tissue Technology, Dr. Idzu Baharin berkata, sebagai seorang doktor, dia bersama komuniti doktor yang lain sering berbincang dan setuju bahawa sudah sampai masanya Malaysia menghasilkan produk terbaharu itu.

“Sebagai seorang peneraju penyelidikan, kami memerlukan rakan kongsi yang bagus dan berpengalaman, untuk membawa penyelidikan ini ke dalam pasaran.

“Saya berharap agar teknologi unggul ini boleh dipasarkan bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di negara-negara lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN