ANGGOTA bomba memberi bantuan kecemasan kepada mangsa di Felda Tersang 1, Raub, awal pagi semalam.

Mati bersujud selepas bantu padam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kea­daan bersujud selepas membantu memadamkan kebakaran melibatkan rumahnya dan rumah pusaka keluarganya yang terletak bersebelahan di Felda Tersang 1 di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Abd. Shukur Abdullah Suhaimin, 46, ditemukan tidak sedarkan diri oleh pasukan bomba dan orang kampung sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi kejadian.

Adik mangsa, Mohamad Ainudin, 38, berkata, ketika kejadian dia berada di Shah Alam, Sela­ngor sebelum menerima panggilan telefon pada pukul 2 pagi memaklumkan rumah pusaka milik keluarganya musnah terbakar selain turut menjejaskan rumah abangnya yang dibina di belakang rumah pusaka berkenaan.

Menurutnya, lebih mengejutkan apabila dia turut dimaklumkan abang sulungnya ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

“Arwah abang tinggal berjauhan dengan keluarganya. Dia be­kerja di Shah Alam, manakala isteri dan dua anaknya berusia 12 dan 17 tahun tinggal di rumah yang dibina di belakang rumah pusaka milik keluarga kami. Setiap Jumaat dia akan pulang untuk menjenguk keluarganya.

“Menurut jiran, ketika keja­dian arwah sempat mengalihkan motosikal dan kereta ke tempat selamat selain turut bertindak mengambil air untuk padamkan api,” katanya.

Mohamad Ainudin berkata, arwah abangnya yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik sempat mengadu keletihan dan berada dalam keadaan me­ngah kepada jirannya kerana berulang-alik membantu me­madam kebakaran.

KEBAKARAN menyebabkan sebuah rumah musnah 100 peratus di Felda Tersang 1, Raub, awal pagi semalam.

“Sejam selepas api berjaya dipadam, ahli keluarga dan jiran perasan arwah ‘hilang’ sebelum bertindak mencarinya di sekitar kawasan itu.

“Arwah akhirnya ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan bersujud di belakang rumahnya. Anggota bomba dan kakitangan kesihatan yang bertugas berusaha memberi bantuan kecemasan, namun abang disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

Mohamad Ainudin berkata, kejadian itu turut mengakibatkan abang keempatnya, Abdul Hadi, 39, mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan.

“Kami tujuh beradik semua tinggal di luar kawasan dan tiada siapa yang tinggal di rumah pusaka ini. Kebetulan hari Sabtu (semalam) abang keempat balik kampung untuk melawat dan membersihkan rumah.

“Semasa kejadian ada jiran berhampiran melihat api di bahagian hadapan rumah sebelum bertindak memanggil abang yang sedang tidur berseora­ngan di dalam rumah untuk menyelamatkan diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.42 pagi dan sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dan BBP Sungai Koyan terus ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pihak bomba mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis sementara yang musnah 100 peratus dan turut melibatkan rumah bersebelahan iaitu terbakar di bahagian bilik dan anggaran kemusnahan adalah 20 peratus.

“Api berjaya dikawal pada pukul 2.51 pagi dan mangsa yang melecur di tangan telah dirawat oleh pasukan penyelamat,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN