MUAR – Setiap kali Ramadan, momen berbuka bersama insan tersayang dan menunaikan solat tarawih bersama-sama merupakan detik indah, namun saat itu hanya tinggal kenangan buat Abdurrahman Amir Ruddin, 20, dan adiknya, Abdullah, 16.
Dua beradik itu kehilangan ibu bapa serta empat adik-beradik yang lain apabila kesemuanya dijemput Ilahi dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat pada 1 September tahun lalu.
Biarpun sudah lebih enam bulan insan tersayang pergi menghadap Ilahi, detik indah dan kenangan bersama mereka tidak pernah luput dalam memori Abdurrahman.
Bercerita mengenainya, Abdurrahman berkata, saat-saat indah paling dirindui adalah ‘jelajah’ ke masjid-masjid di Segamat bersama bapanya, Amir Ruddin Ismail yang sering dijemput menjadi imam.
“Memang setiap kali Ramadan, saya dan adik-adik yang lain selalu ikut abi pergi tarawih. Namun sekarang mereka sudah tiada,” katanya dalam nada sayu ketika dihubungi Kosmo! Ahad.
Tambah Abdurrahman, tentang juadah, dia paling menyukai nasi goreng cili merah yang dimasak arwah ibunya, Noor Mohammad.
“Kalau masa berbuka umi jarang masak sebab kerja dan kalau masak menu paling sedap ialah nasi goreng cili merah bersama nuget ayam.
“Itulah menu atau juadah berbuka paling dirindui, kini saya dan Abdullah tidak boleh lagi merasainya, umi dan abi serta adik-beradik yang lain sudah pergi menghadap Ilahi,” katanya.
Abdurrahman berkata, selain itu, dia turut merindui hilai tawa adik-adiknya, Fatimatulzahrah, Seri Khadijah Aqilah, Rufaidatul Asyariyah dan Muhammad Assyakrawi.
Jelasnya, dia selalu mengusik adik-adiknya sehingga menyebabkan ibunya marah dengan ‘kenakalannya’ itu.
“Kalau dekat rumah, saya selalu kacau adik-adik dan kami akan bising, masa itulah umi akan marah-marah. Rindunya saat bersama.
“Saya dan Abdullah selalu menziarahi pusara abi, umi dan adik-beradik yang lain untuk melepaskan rindu yang tidak tertanggung, pergi bersih kubur, baca yasin dan berdoa buat mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdurrahman melahirkan syukur apabila dia dan Abdullah dapat menumpang kasih ibu dan bapa saudara serta neneknya tinggal di Kampung Parit Lapis, Parit Jawa di sini.
“Suasana berbuka tidak sama ketika umi, abi dan adik-adik masih ada tetapi syukur apabila kami mempunyai saudara.
“Kebiasaannya, setiap kali raya, kampung abi di Temerloh, Pahang merupakan tempat kami menyambut raya hari pertama, tetapi tahun ini, saya dan Abdullah pulang ke kampung tanpa mereka,” luahnya.















