fbpx

Harimau Malaya, Ultras sama naik jadi ‘konten’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Harimau Malaya: The Untold Journey arahan Datuk Afdlin Shauki dijangka ditayangkan pertengahan tahun ini.

FILEM yang mengetengahkan tema sukan bola sepak bukan lagi perkara asing dalam industri perfileman tanah air. Ola Bola dan Anak Rimau The Movie antara naskhah yang pernah menjulang sukan bola sepak tanah air.

Terbaharu, pencinta sukan tanah air khususnya bola sepak bakal sekali lagi dihidangkan dengan filem bertema sama iaitu Harimau Malaya: The Untold Journey arahan Datuk Afdlin Shauki.

Karya berkenaan memaparkan realiti di sebalik dunia bola sepak dan sebagai tanda penghargaan buat barisan atlet, jurulatih dan penyokong tegar Harimau Malaya iaitu Ultras.

Menurut penerbit eksekutifnya, Nashrul Nasir, terlalu banyak mesej yang hendak disampaikan menerusi naskhah tersebut termasuk kejayaan Harimau Malaya yang layak secara merit ke Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun.

“Kami percaya ada banyak kisah inspirasi yang boleh diambil daripada Harimau Malaya: The Untold Journey seperti cerita selepas jurulatih, Tan Cheng Hoe meletak jawatan pada Januari 2022.

“Sebagai penerbit, saya yakin dengan kepakaran Afdlin menulis skrip dan mengarahkan filem ini yang bertemakan kesukanan tanpa mengetepikan nilai komersial.

“Harimau Malaya: The Untold Journey adalah sebuah filem wajib ditonton oleh semua lapisan masyarakat kerana sukan mampu menyatukan kita semua,” katanya.

Dalam pada itu, Nashrul juga sentiasa yakin bahawa filem yang mengetengahkan tema sukan mampu untuk membuka mata banyak pihak tentang kesungguhan pasukan kebangsaan menenpa nama di persada dunia.

“Saya juga percaya, filem ini bukan sekadar beri inspirasi, tetapi boleh mencetuskan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Bukan itu sahaja, disebabkan filem ini juga, para pencinta bola sepak akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad kebangsaan yang selama ini berjasa dalam mengharumkan nama negara,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, Nashrul berkata, filem tersebut akan memaparkan lebih 70 peratus situasi sebenar yang berlaku dalam sukan bola sepak tanah air.

“Memang akan ada babak sensitif seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kena kecam susulan prestasi buruk pasukan negara.

“Namun, usah lihat daripada sudut negatif semata-mata tetapi fokuslah aspek lebih positif iaitu usaha FAM dalam memperbaiki keadaan dan kelemahan bagi memastikan pasukan negara kembali bangkit,” ujarnya.

Sementara itu, penerbit bersama, Alif Nabil pula berkata, filem Harimau Malaya: The Untold Journey yang menelan belanja sebanyak RM7 juta tersebut turut membawa pemain kebangsaan, Faisal Halim atau Mickey sebagai penampilan istimewa.

“Hanya Mickey akan kami tampilkan dalam filem ini.

“Mickey dipilih selepas berjaya menjaringkan gol ketika menentang Korea Selatan pada aksi Piala Asia 2023 baru-baru ini.

“Harapnya dengan kemunculan Mickey dapat menarik lebih ramai penonton ke pawagam kelak,” kongsinya lagi.

Katanya, penggambaran filem tersebut sudah selesai dijalankan dan dijangka ditayangkan sekitar pertengahan tahun ini.

Filem terbitan 4wards Pictures Sdn. Bhd. berkenaan mengambil inspirasi daripada kisah perjuangan skuad Harimau Malaya di peringkat kelayakan sehingga menempah tiket ke Piala Asia 2022 secara merit selepas penantian 42 tahun.

Lebih menarik, bukan sahaja mengetengahkan cerita pemain bola sepak tetapi naskhah berkenaan turut mengangkat kisah peminat tegar bergelar Ultras yang disenarai hitam daripada menghadiri perlawanan selama setahun.

Menjalani penggambaran di Malaysia dan London, karya berkenaan dibintangi Meerqeen, Sophia Albarakbah, Aidil Aziz, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Erra Fazira, Amelia Henderson, Nam Ron, Bell Ngasri, Kavin Jay dan Douglas Lim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI