PONTIAN – Kehidupan seorang wanita berubah sejak suaminya lumpuh selepas menghidap penyakit angin ahmar atau strok pada 2021 apabila dia menjadi ‘ketua keluarga’ bagi menguruskan rumah tangga serta tujuh orang anak.
Roslina Adam, 47, berkata, suaminya, Johari Sairan, 52, yang menjadi tempat bergantung hidup kini terlantar di atas katil dan tidak boleh bercakap serta tidak mampu menguruskan diri.
Katanya, sebelum terkena strok, suaminya menghidapi penyakit darah tinggi.
Ujarnya, pada waktu terkena strok, tekanan darahnya terlalu tinggi dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
“Suami saya menerima rawatan selama 14 hari di hospital sebelum dibenarkan balik, namun keadaannya tidak berubah, malah bertambah teruk.
“Penyakit tersebut menyebabkan bahagian kanan badannya termasuk kaki kanan tidak dapat bergerak,” katanya di Kampung Parit Salleh, Benut di sini baru-baru ini.
Tambahnya, pelbagai kaedah rawatan termasuk secara tradisional dilakukan, selain bantuan fisioterapi yang dipanggil datang ke rumah, namun penyakit suaminya tidak sembuh.
“Dia kini hanya minum susu formula melalui tiub ke hidung dan memerlukan sembilan tin susu sebulan yang berharga RM100 setin.
“Penggunaan lampin pakai buang dewasa pula sebanyak lapan beg sebulan,” katanya yang kini menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Ujarnya, sebelum ini suaminya mengusahakan kebun kelapa sawit seluas 1.6 hektar sebagai pendapatan utama.
“Kini kerja-kerja di kebun kelapa sawit diambil alih oleh anak lelaki berusia 23 tahun dengan memperoleh hasil kira-kira RM1,500 sebulan
bergantung kepada pengeluaran,” katanya.
Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Roslina di 011-258 80046 atau menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam 01-108-02-293008-7.














