PETALING JAYA – Collaborative Research in Engineering and Science and Technology Centre (Crest) bersama Persatuan Aeroangkasa Malaysia (MAIA) dan Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) telah melancarkan Geran Peningkatan Kemahiran (Upskilling) bagi industri aeroangkasa dan peranti perubatan.
Bagi merealisasikan kerjasama tersebut, ketiga-tiga pihak telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk meningkatkan bakat yang menepati keperluan industri bagi memenuhi permintaan pesat dalam sektor bernilai tinggi.
Ketua Setiausaha (industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Hanafi Sakri berkata, pengenalan Geran Peningkatan Kemahiran untuk industri ini merupakan langkah positif dalam usaha membangunkan bakat masa depan.
“Dengan melabur secara strategik dalam program peningkatan kemahiran, ia membolehkan individu berkembang maju dalam industri dinamik ini, memupuk inovasi dan memacu negara ke arah kemajuan ekonomi yang mampan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Geran Peningkatan Kemahiran bagi Industri Aeroangkasa dan Peranti Perubatan dirancang untuk dilaksanakan di dalam tempoh setahun dan ia merangkumi empat program yang direka bagi menyasarkan aspek penting pembangunan bakat dalam industri.
Program pertama menawarkan peluang kepada tenaga kerja sedia ada untuk menambah baik kemahiran mereka bagi memastikan mereka kekal relevan seiring dengan perubahan permintaan industri dan kekal berdaya saing di dalam persekitaran alam pekerjaan.
Geran itu juga direka untuk melatih dan menempatkan rakyat yang menganggur, untuk dilengkapkan dengan kemahiran teknikal yang diperlukan oleh pekerjaan di dalam industri aeroangkasa dan peranti perubatan.
Selain itu, geran itu dirangka khusus untuk memperkukuhkan keupayaan teknikal institusi pendidikan dalam kedua-dua sektor, sejajar dengan keperluan industri.
Ini termasuk pembangunan modul kurikulum pembelajaran dan latihan khusus yang sejajar dengan teknologi aeroangkasa dan peranti perubatan, penyediaan latihan teknikal yang disasarkan untuk kakitangan akademik dan pekerja institusi pendidikan dalam sektor ini, dan perolehan alatan dan peralatan yang diperlukan untuk memudahkan aktiviti pengajaran dan latihan. -KOSMO! ONLINE







