fbpx

MCW gesa ahli politik tidak manipulasi fakta, undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jais.

PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa ahli politik agar tidak memanipulasi fakta dan undang-undang sedia ada untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap fungsi serta peranan agensi penguat kuasa negara.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, sebarang perkara yang dibangkitkan berkaitan isu melibatkan rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh bertindak demi menjalankan tanggungjawab membanteras rasuah dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, ia merujuk kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berpandangan bahawa SPRM tidak perlu masuk campur berhubung kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

“Menurutnya Ahli Parlimen memiliki imuniti daripada pendakwaan dan keistimewaan semasa berucap atau berbahas dalam sidang Dewan Rakyat, dan Wan Saiful sebagai seorang wakil rakyat mempunyai hak untuk tentukan bila beliau hendak buat laporan kepada SPRM tanpa didesak.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang bersifat ‘non-partisan’, MCW ingin memberi pandangan berdasarkan fakta dan undang-undang yang sedia ada, bukannya polemik serta manipulasi fakta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, merujuk keistimewaan semasa berbahas dalam sidang Dewan Rakyat dan imuniti Parlimen yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Keistimewaan Parlimen perkara 63 (1), (2) dan (3), ia sebenarnya adalah berkaitan dengan imuniti terhadap prosiding di dalam mahkamah.

“Perkara 63 (2) menyatakan dengan jelasnya bahawa tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatan kuasanya.

“Pada pandangan kami, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hanya memberi kenyataan meminta Wan Saiful untuk membuat aduan atau laporan kepada SPRM sekiranya benar dia ditawarkan rasuah,” jelasnya.

Jelas beliau, kenyataan tersebut tidak melibatkan sebarang prosiding mahkamah dan ia tidak termasuk dalam keistimewaan Ahli Parlimen mendapat perlindungan Imuniti Parlimen.

“Apabila Wan Saiful menyebut di Parlimen iaitu di Dewan Rakyat mengenai dakwaan rasuah ditawar kepada beliau, maka sebenarnya menjadi tanggungjawab beliau sendiri untuk membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

“Dalam hal ini, SPRM boleh bertindak secara proaktif untuk berjumpa dan mengambil butiran atau maklumat yang berkenaan secara berjumpa terus dengan mana-mana individu,” katanya.

Sehubungan itu, ia merupakan tanggungjawab individu yang ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

“Di dalam peruntukan Akta SPRM 2009 iaitu di bawah Seksyen 7 (a) Pegawai-pegawai Suruhanjaya mempunyai fungsi menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang perlakuan kesalahan rasuah dan menyiasat mana-mana aduan itu sebagaimana yang difikirkan praktik oleh Ketua Pesuruhjaya.

“Kesimpulannya, apa-apa perkara yang dibangkitkan berkaitan isu atau perkara yang melibatkan rasuah, SPRM boleh bertindak demi menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai agensi utama yang memerangi rasuah selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“MCW berharap ahli-ahli politik tidak memanipulasi fakta dan undang-undang yang sedia ada untuk mengaburi mata rakyat dan mewujudkan persepsi buruk terhadap fungsi dan peranan agensi penguat kuasa negara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI