fbpx

Lelaki Kemboja sebabkan kematian empat warga senegera dijel 60 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang lelaki warga Kemboja terlepas daripada tali gantung selepas Mahkaman Rayuan di sini hari ini, menggantikan hukuman mati dengan penjara 60 tahun atas empat pertuduhan menyebabkan kematian dua kanak-kanak lelaki dan dua wanita di sebuah ladang kelapa sawit di Selangor pada 2015.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail terhadap bekas penjual air Usuf Matli, 39, selaku perayu apabila menggantikan sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh kepada Seksyen 304 (a) kanun sama iaitu menyebabkan kematian.

“Sabitan dan hukuman dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Tinggi (Shah Alam) diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap empat pertuduhan.

“Oleh itu, perayu menjalani hukuman penjara selama 60 tahun kerana hukuman itu berjalan berasingan dari tarikh tangkap pada 7 Sept 2015,” kata Hakim Hadhariah.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Semasa prosiding, selepas pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu dibacakan, perayu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, Usuf didakwa telah menyebabkan kematian terhadap dua kanak-kanak lelaki iaitu Rahimi Yusof dan Asnawi Ahmad serta dua wanita iaitu Fatimas Aly dan Salamah Yusof di kebun kelapa sawit di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang Kuala Langat, Selangor antara pukul 1 pagi hingga 7.25 malam pada 6 September 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda.

Pada 8 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Usuf selepas didapati bersalah kerana membunuh mangsa-mangsa yang juga warga Kemboja itu.

Terdahulu, peguam Salim Bashir yang mewakili Usuf memberitahu mahkamah, pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggantikan hukuman mati itu kepada kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fairuz Johari mengesahkan AGC telah menerima representasi tersebut yang dihantar pada 26 Januari lalu.

Semasa rayuan terhadap hukuman, peguam itu memohon supaya perayu dikenakan hukuman penjara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 7 September 2015.

Sementara pendakwaan memohon agar perayu dikenakan hukuman penjara 18 tahun bagi setiap pertuduhan kerana dalam kejadian itu empat nyawa terkorban dan mangsa dibunuh dengan kejam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI