fbpx

CGF tawar RM600j kepada Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORZA

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menganjurkan temasya sukan itu bagi menggantikan Victoria selaku tuan rumah pada 2026.

Tawaran itu termasuk suntikan pelaburan kewangan bernilai £100 juta kira-kira RM602.14 juta untuk pelaksanaan dan sistem penyampaian edisi berkenaan.

Susulan daripada tawaran rasmi CGF kepada MOM dan Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lalu, MOM sudah memulakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan.

Menurut Presiden CGA Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, pihak kerajaan harus mempertimbangkan tawaran itu yang akan membina kejayaan Kuala Lumpur 1998 dan kembali meletakkan Malaysia di peta sukan dunia.

“CGA Malaysia dan CGF sudah berbincang berhubung peluang Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Kali ter­akhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998.

“Oleh itu, CGA Malaysia berpendapat bahawa kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan peluang sekali seumur hidup ini berserta sokongan dan pelaburan berkaitan yang akan membina kejayaan Kuala Lumpur 1998 dan meletakkan Malaysia kembali di peta sukan dunia.

“Dengan fasiliti berkelas dunia sedia ada, Malaysia serba lengkap untuk menjadi tuan rumah temasya antarabangsa Komanwel yang membabitkan 74 negara Komanwel dan wilayahnya.

“Penganjuran akan membabitkan perbelanjaan kerajaan yang minimum dan membawa faedah sosio-ekonomi kepada negara.

“Ia juga bakal meningkatkan taraf sukan Malaysia seperti apa yang berlaku selepas temasya 1998. Untuk tujuan itu, CGF dan CGA Malaysia sudah menawarkan cadangan yang menarik kepada kerajaan Malaysia,” kata Norza dalam satu kenyataan ­semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini berkata, pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk ­diserahkan kepada Jemaah Menteri bagi membuat sebarang keputusan.

Pada pertengahan Julai tahun lalu, kerajaan Victoria memba­talkan rancangan untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 kerana kos terlalu tinggi le­bih AUD$6 bilion (AS$3.8 bilion).

Atas keputusan tersebut, kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD$380 juta (AS$243 juta) ke­rana melanggar kontrak apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 hingga 29 Mac 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI