SIAPA sangka siapa menduga, buah cempedak sudah menjadi nangka dan begitulah…
Sering kita mendengar kisah artis kantoi dadah, kantoi tak bayar hutang atau kantoi curang.
Skandalisme dalam dunia glamor juga tidak asing, cuma secara terang-terangan atau senyap-senyap, itu sahaja yang membeza budaya dunia hiburan tanah air dengan suhu yang berlaku di Hollywood atau di mana sahaja pelosok dunia yang ada budaya pop.
Kita juga selalu membaca paparan berita kisah orang kena tangkap basah atau khalwat, bersedudukan, bahkan ceritanya pelik-pelik sehingga ada yang melibatkan pasangan beza umur jauh ketara.
Ada yang bawa anak-anak yang masih kecil untuk mengaburi pertemuan sulit mereka. Kisah sebegitu biasanya sepintas lalu, heboh sehari esoknya hilang sudah elemen berita untuk diberi fokus.
Konteknya masih sama cuma situasi dan hierarki sosial si pelaku sahaja berbeza.
Perbuatan yang sengaja penulis gelarkan ‘jenayah sensasi’ menjadi fokus luar biasa apabila melibatkan nama-nama terkenal, selebriti atau tokoh masyarakat.
Bukan ‘kepochi’ tetapi sudah alami namanya tangkap khalwat, ustaz dan ustazah sekali pun akan pasang telinga, paling tidak istighfar dan menoleh lagi setidak-tidaknya ambil tahu cerita panas dalam masyarakat hari ini yang ‘terpaling’ cakna belaka.
Sebab itulah, masuk hari ketiga, selepas ditangkap khalwat awal pagi kelmarin (Sabtu) sampai ke hari ini, nama pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies masih berjejeran diulang-ulang jadi sebutan.
Terkejut, namun bukan sesuatu mustahil. Jika difikirkan semula, mungkin siapa pun tidak berasa pelik tatkala Aliff Aziz terpamer dengan tajuk berita, buat onar lagi.
Bezanya, apabila melibatkan Ruhainies, si cantik yang sering dibumbui kisah kemewahan bak puteri impian, ramai menggelengkan kepala.
Tak kurang juga yang tepuk dahi saatnya nama dibisikkan gerangan si pelakon wanita ditangkap basah bersama suami orang anak tiga itu.
Jika dihitung dari segi latar belakangnya, siapa pun tidak berasa janggal dengan tingkah Aliff. Terfikir juga, adakah tidak serik-serik anak seberang Tambak Johor itu repeat paper atas kedangkalan semalam.
Berkali-kali terjebak insiden curang dengan artis cantik tanah air dan wanita di tanah kelahiran sendiri, masuk mahkamah ke penjara, cerai dan rujuk kemudian diterima ditimang sebagai kesayangan ramai dalam Gegar Vaganza jadi hero drama rantaian, kembali bahagia di sisi isteri dan anak tersayang, apakah lagi kurang dalam hidupnya?
Ibarat lirik lagu, entah siapa yang salah, kutak tahu. Itulah Aliff Aziz.
Hari ini, anak-anak harapan negara dan bangsa sudah kembali memulakan sesi baru persekolahan, esok pun sudah Ramadan.
Eloklah kita tunggu sahaja mahkamah bersidang untuk ‘perolehan’ fakta yang lebih terang lagi bersuluh. Apa alasan yang bakal mereka jelaskan, yang penting Aliff Aziz sudah pecah rekod Shuk Shahar, bahkan Norman Hakim belasan tahun lalu, yang kini seperti kembali ‘segar’. -KOSMO! ONLINE














