fbpx

Bekalan beras, sayur sepanjang Ramadan mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Anzara (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan buah kurma kepada kakitangan FAMA dan orang ramai di pekarangan pejabat agensi itu di Kangar, hari ini.

KANGAR – Bekalan beras putih tempatan (BPT) dan sayur-sayuran yang dibekalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di negeri ini dijangka mencukupi sepanjang Ramadan ini.

Pengarah FAMA Perlis, Mohd. Anzara Azizan berkata, bekalan BPT dijangka mendapat permintaan tinggi berikutan banyak agensi akan menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada bulan puasa.

“Bekalan BPT yang kita terima adalah sebanyak 3,000 kampit pada setiap minggu, namun dalam kes tertentu seperti Jualan Agro Madani pada Pesta Angin Timur 2024 lalu, kita berjaya mendapat sehingga 5,000 kampit seminggu.

“FAMA negeri akan melihat corak permintaan pengguna, sekiranya dapat sambutan menggalakkan, kita akan cuba tambah pesanan kepada ibu pejabat,” katanya ketika ditemui semasa Jualan Agro Madani di pekarangan FAMA, di sini hari ini.

Kata beliau, FAMA negeri dan Majlis Perbandaran Kangar juga merancang menganjurkan satu program dalam tempoh terdekat yang memerlukan lebih banyak bekalan BPT.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai bekalan sayur, Mohd. Anzara memaklumkan bahawa ia juga mencukupi sepanjang tempoh sama.

“Berdasarkan laporan risikan pasaran di negeri ini pada minggu lepas, bekalan sayur di negeri ini mencukupi walaupun berlaku sedikit peningkatan harga.

“Sayur dari sumber tanah tinggi seperti daun sup mencatatkan peningkatan harga antara RM13 hingga RM14 sekilogram berbanding RM12 sebelum ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI