fbpx

Zakat fitrah Negeri Sembilan dari RM7 hingga RM22

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga dari kiri, Dr. Abdul Aziz dan warga Mains menunjukkan tiga kadar berbeza zakat fitrah di Negeri Sembilan bagi tahun ini iaitu RM7, RM12.50 dan RM22. Foto MOHD SHAHJEHAN MAAMIN/ KOSMO!

SEREMBAN – Kadar zakat fitrah di Negeri Sembilan bagi tahun ini ditetapkan pada tiga kadar berbeza iaitu RM7, RM12.50 dan RM22.

Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Dr Abdul Aziz Ab Kadir berkata, kadar tersebut berdasarkan kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini, iaitu kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.751 kilogram.

Menurut beliau, bagi menjunjung titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, ketetapan Pewartaan Kadar Zakat Fitrah tahun 1445Hijrah/2024/Masihi adalah RM7 bagi umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya daripada jenis Super Special Tempatan lima peratus.

“Kadar RM12.50 bagi umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya daripada jenis beras Super Import, Super Wangi dan Herba Ponni manakala RM22 bagi umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya daripada jenis beras Super Basmathi,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi Mains dan sidang media khas kadar Zakat Fitrah bagi tahun 1445H/2024M di Menara Mains, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pembayaran secara bersemuka boleh dilakukan di kaunter zakat di pejabat MAINS daerah dan cawangan; menerusi amil zakat fitrah bertauliah di masjid dan surau terpilih di seluruh negeri atau di kaunter pembayaran zakat fitrah di lokasi terpilih.

Selain itu, pembayaran secara dalam talian juga boleh dibuat melalui portal rasmi Mains (www.zakatns2u.biz/fitrah), aplikasi Mains Pay, aplikasi MyEG, aplikasi TULUS, aplikasi TheNoor, aplikasi IKHLAS, aplikasi BOOST dan perbankan internet melalui jomPay.

Sementara itu, beliau berkata, kutipan zakat fitrah pada tahun lalu mencatatkan lebih RM6 juta dan pihaknya menyasarkan tahun ini kutipan tersebut akan meningkat melebihi RM7 juta.

“Rata-ratanya kutipan zakat sebelum ini ramai yang memilih untuk membayar kadar kedua iaitu sebanyak RM10 (kini RM12.50) dan kita jangkakan tahun ini juga, ramai pembayar zakat akan membuat bayaran pada kadar tersebut” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI