fbpx

Kerjasama KPJ Healthcare, Mayo Clinic pacu kecemerlangan, tingkat piawaian baharu dalam industri penjagaan kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Dzulkefly (tengah) bersama Chin Keat Chyuan (tiga dari kiri) dan Dr. Stacey Rizza (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima keahlian Mayo Clinic di Kuala Lumpur baru-baru ini.

DALAM usaha meneroka pendekatan inovatif dalam industri penjagaan kesihatan, KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) te­lah memeterai kerjasama strategik dengan Mayo Clinic yang merupakan pusat perubatan terkemuka di dunia.

Melalui kerjasama itu, KPJ Healthcare yang juga penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia, telah melakar satu detik bersejarah setelah KPJ Damansara Specialist Hospital (KPJ DSH) dan Damansara Specialist Hospital 2 (DSH 2) menjadi rangkaian hospital pertama di negara ini yang disenaraikan sebagai ahli Mayo Clinic Care Network.

Langkah yang diambil itu jelas menunjukkan komitmen KPJ Healthcare untuk memanfaatkan kepakaran di peringkat global bagi memacu kecemerlangan perubatan dan inovasi penjagaan pesakit.

Melaluinya, ia akan menetapkan piawaian baharu dalam landskap sektor penjagaan kesihatan di negara ini.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, kerjasama itu mencatat sebuah lagi detik bersejarah bagi KPJ Healthcare apabila diiktiraf sebagai penyedia penjagaan kesihatan pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menjadi ahli Mayo Clinic Care Network, melalui dua rangkaian hospital mereka iaitu KPJ DSH dan DSH 2.

Dr. Dzulkefly (tiga dari kiri) diberi penerangan mengenai kerjasama strategik yang dimeterai antara KPJ Healthcare dengan Mayo Clinic.

Menurutnya, pencapaian itu merupakan satu anjakan besar bagi kedua hospital tersebut dalam menerajui kecemerlangan perubatan kerana syarikat sentiasa berusaha untuk meneroka pendekatan yang inovatif demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pesakit.

“KPJ Healthcare berhasrat untuk memanfaatkan pengalaman, sumber dan amalan terbaik Mayo Clinic dalam meningkatkan kepakaran dan kemahiran pengamal perubatan kami sendiri.

“Kami yakin bahawa strategi ini bukan sahaja hanya akan me­ningkatkan hasil dan kualiti rawatan pesakit seiring dengan slogan Care for Life kami, bahkan turut menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian kerjasama strategik di antara KPJ Healthcare dengan Mayo Clinic di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Turut hadir dalam majlis itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; Pengarah Perubatan Eksekutif Mayo Clinic Bahagian Amalan Antarabangsa dan Asia Pasifik, Dr. Stacey Rizza dan Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md. Arif Mahmood.

Chin menerangkan, melalui keahlian itu, doktor di ke­dua-dua hospital akan mendapat akses da­ripada Mayo Clinic untuk pendidikan, penyelidikan, ­pengetahuan operasi dan kepakaran.

“Ini termasuk peluang untuk perundingan langsung dengan pakar perubatan dan akses kepada penyelidikan, diagnostik dan sumber rawatan terkini daripada Mayo Clinic,” jelasnya.

Sementara itu, keahlian dalam Mayo Clinic Care Network memberikan akses penuh kepada KPJ DSH dan DSH 2 untuk memanfaatkan sumber klinikal dan perkhidmatan Mayo Clinic yang berteknologi tinggi, termasuklah penjagaan perubatan dan pembangunan profesional seperti AskMayoExpert.

Ia merupakan sistem komprehensif yang menawarkan maklumat klinikal tentang pelbagai kondisi perubatan termasuk protokol perubatan, cadangan rawatan dan rujukan perubatan.

Chin Keat Chyun (dua dari kiri) bersama Dr. Stacey (dua dari kanan) memegang plakad sebagai simbolik kerjasama strategik yang dimeterai.

Pangkalan data tersebut boleh diakses pada setiap masa untuk semua jenis perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Akses lain termasuklah eBoards iaitu persidangan video interaktif secara langsung yang membo­lehkan pasukan perubatan di KPJ DSH dan DSH 2 membuat semakan dan membincangkan kes-kes kompleks dengan barisan panel dan pakar perubatan dari Mayo Clinic Care Network.

Selain itu, pengamal perubatan profesional di KPJ DSH dan DSH 2 juga turut berpeluang untuk menggunakan bahan material berkaitan pendidikan tentang pesakit di Mayo Clinic dan terlibat dalam pembangunan profesional serta pendidikan perubatan berterusan, sekaligus meningkatkan kualiti penjagaan dan perkhidmatan yang diberikan.

Sementara itu, Dr. Stacey menjelaskan, pihaknya amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran KPJ DHS dan DSH 2 sebagai ahli Mayo Clinic Care Network.

“Organisasi kami turut berkongsi komitmen yang sama dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti yang memberi tumpuan khusus kepada setiap pesakit.

“Kami tidak sabar untuk be­kerjasama dengan KPJ Healthcare dalam memperkasakan perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang kerjasama itu, Dr. Dzulkefly berkata, kerjasama KPJ Healthcare dan Mayo Clinic adalah sesuatu yang sangat memberikan lonjakan kepada prestasi sektor kesihatan.
“Amalan terbaik, inovasi, teknologi dan kepakaran latihan sumber manusia, kesemuanya akan dapat digarap melalui kerjasama dengan Mayo Clinic.

“Pilihan KPJ Healthcare untuk terus mendapatkan gandingan ini adalah sangat bijak dan meletakkan mereka dalam liganya yang tersendiri, kita di Malaysia akan mendapat limpahan kebaikan dan saya juga berharap ia dapat memberikan lonjakan yang amat pen­ting untuk pelancongan kesihatan di Malaysia,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI